Tuesday, April 8, 2008

SEKARANG!

Biar lambat asalkan selamat, memang sesuai jika digunakan untuk mereka yang sedang menggunakan kenderaan berkuasa tinggi ,lebih 100cc, untuk menuju ke satu destinasi. Hatta, dalam scenario berjalan kaki sekalipun, peribahasa ini tidak begitu sesuai, kerana peratusan untuk mendapat kecelakaan bagi pejalan kaki adalah agak rendah. Jadi, kalau jalan lambat-lambat, mungkin tidak sesuai. Lari-lari anak, lebih baik dari berjalan kaki.

Kita mungkin, bila dah tua nyanyok, akan mengeluh dengan frasa, “kalaulah dulu aku buat itu dan ini…”, seakan berharap kalau masa boleh diputar semula ke zaman muda. Adakah akan berlaku perubahan? Allah ada menyatakan dalam kitabNYa, kemungkinan itu sangat rendah. Manusia akan melakukan apa yang telah dilakukan dahulu, sekali lagi.

Jadi, kalau kita ada niat dan terdetik hendak buat sesauatu yang baik sekarang, buat dulu, SEKARANG!. Jangan tangguh lagi kerana saat kita terdetik itu mungkin tidak akan muncul lagi, dan, kita akan lupa perkara baik yang pernah kita berniat hendak buat.

Banyak perkara yang menyebabkan kita menahan diri dari melakukan sesuatu yang baik, dan, kita pasti perkara itu memang baik. Satu, kita tak tahu nak buat macam mana. Pernah dengar orang tidak tahu solat? Perkara ini berlaku pada seorang yang telah berusia. Dia tidak tahu solat sebab dari kecil tidak pernah diajar bersolat. Dan, apabila sudah berumur dia terasa ingain bersolat. Masalahnya, dia tidak tahu segala perkara yang berkaitan dengan solat termasuk bacaan dan rukun-rukun solat. Dia tidak pandai membaca lalu tidak tahu apa yang harus dibaca. Di situ, ada halangan, tetapi yang menjadikan keadaan bertambah buruk ialah dia tidak mahu mula SEKARANG!. Dia menangguh dengan alasan ingin belajar dahulu baru dia akan bersolat, dia beralasan, kalau sekadar mengikut-ikut perbuatan orang lain, tidak akan mendapat berkat.

Kedua, perkara yang menahan diri kita dari melakukan perubahan sekarang ialah menunggu masa yang sesuai, terutamanya, selain alasan nombor satu, ialah meletakkan prasyarat untuk kita sendiri penuhi, sebelum malakukan perkara yang kita mahu lakukan. Seringkali kita terperangkap dengan kondisi kesempurnaan satu perkara, yang kita sendiri letakkan, sebelum kita membuat perkara yang lain. Kita tidak mahu dicap sebagai ‘ketam mengajar anak berjalan lurus’. Namun, kesilapan kita ialah kita tidak buat sesuatu perkara sehingga kita sempurna membuat satu perkara yang lain. Ketam tidak akan mengajar anaknya berjalan kalau dia menunggu saat dia boleh berjalan lurus, baru dia hendak mengajar anaknya berjalan. Kita juga tidak mahu dikecam kerana ‘cakap tak serupa bikin’, lalu kita tidak bikin-bikin perkara itu kerana kita belum yakin untuk menyatakan keazaman kita.

Dalam hal ini, mungkin kita boleh ambil frasa ‘dare to fail’, berani kerana benar atau kalau bukan sekarang, bila lagi?. Memang banyak halangan untuk kita lakukan sesuatu, tapi, kenapa tidak buat dahulu SEKARANG!, dan menghadapi kemungkinan yang akan berlaku. Kalau kita dapat peluang untuk terjun bebas dari angkasa SEKARANG!, mahukan kita menunggu lagi? Mungkin itu sahaja peluang yang kita dapat!

Pernah terlintas untuk menyertai gerakan menegakkan Islam, atau, menyertai aktiviti yang memerlukan komitmen? Lalu kita berkata, tunggu dululah, “aku fardu ain pun belum beres, biar aku belajar dulu”. Atau, “sikit masa lagilah, anak tengah membesar, masa ini paling penting untuk anak-anak”. Mungkin juga, “tunggulah meniaga dapat untung lebih, nanti barulah boleh beri sumbangan pada Islam”. Memang menasabah sebab yang kita fikir, tetapi lebih menasabah kalau kita mengira kembali usia kita yang tidak pasti bila akan bertemu hujung, dan, kita tidak sempat untuk melakukan perkara baik yang kita telah lama fikirkan. Jadi, buat SEKARANG!, dan berdoa agar Allah memberi jalan kesenangan kepada kita.

Alasan ini jugalah yang digunakan oleh sebahagian kita untuk tidak mahu memartabatkan hokum Islam di Negara ini. Orang belum faham Islam sepenuhnya, jadi tidak perlu memartabatkan undang-undang Islam, apa lagi melaksanakannya.

Tiga, kita terperangkap dengan perkara yang kita suka dengan perkara yang sepatutnya dilakukan. Dalam situasi ini, dilema muncul kerana kelemahan diri sendiri. Allah sudah memberi panduan tentang perkara ini, mungkin kita tidak suka tetapi perkara itu baik untuk kita. Tiada siapa yang suka menyakiti hati orang lain, apa lagi menyakiti tubuhnya. Lebih daripada itu, manusia tidak suka membunuh sesama sendiri. Namun, perkara-perkara tersebut adalah sebahagian dari peristiwa dalam hidup. Orang Islam di Palestin terpaksa berperang setiap hari dengan Yahudi, tapi mereka tidak boleh menunggu atau menidakkan perang semata-mata kerana mereka tidak tahu berperang, semata-mata kerana mereka perlu menunggu masa yang sesuai atau semata-mata kerana mereka tidak suka kepada perang. Mereka mesti berperang SEKARANG!.

Menyakiti hati orang yang menghalang pengembangan Islam memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan. Kita tentu tidak suka menyakiti hati manusia lain, lalu kita mungkin boleh mengambil jalan dengan mengambil pendekatan berbeza, supaya kumpulan sasaran kita tidak marah pada kita. Namun, dari sudut tempoh masa, tidak ada siapa yang boleh memastikan ketika itu akan tiba. Pembelaan Islam pula tidak boleh ditangguh. Jadi, orang Islam mesti mempertahankan Islam dan menentang golongan yang menghalang pengembangan Islam SEKARANG!.

Kalau ada perkara baik yang boleh kita lakukan, dan, sebenarnya kita sudah lama berfikir tentangnya, lakukan SEKARANG! Kesilapan akan muncul, sebab kita manusia, sama ada sekarang atau bila-bila. Kesilapan tidak dipengaruhi oleh perkara baik yang kita lakukan. Kesilapan ada jalan keluar iaitu munajat kepada Allah. Kesilapan juga bukan sebab kegagalan melaksanakan kebaikan kerana kesilapan adalah perisitiwa sepanjang masa dalam hidup manusia. Takut buat silap tidak menjadikan kita lebih baik dalam mengembangkan nilai Islam.

Perkara kebaikan mesti bermula SEKARANG! Dan kita mungkin berpeluang untuk mengulanginya. Kalau tidak mula SEKARANG!, kita telah ketinggalan satu langkah dalam kebaikan. Jangan tangguh, jangan takut, jangan pandang belakang, Islam mesti diperjuangkan SEKARANG!.

2 comments:

Letting the time pass me by said...

Ye betul... Aku memang setuju bebenor dengan kau nie....

Tapi cakap lagi senang dari buat. Sebab tu la banyak benda yang aku tak buat-buat...

Tapi semalam, skarang dan esok hanyalah masa, dan masa itu punca kerugian... kecuali jika kita beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan hak dan sabar.

Kau tahu Don apa yang mengujakan kalau blogging nie... Kalau ada orang komen blog kita...

Sekarang nie banyak isu panas... takkan nak main kat tepi aje... pegi la ketengah sikit...
hulur-hulur kail yang sejengkal tu - perangat-- jangan tak perangat...

Anonymous said...

Bro, font ko tu kasi besarlah sikit, kecik sangat la....ke, mata aku yang besar....?

Charlie...

TRANSLATION