Tuesday, April 8, 2008

Berfikir di Luar Kotak

Dalam pemikiran kreatif dan kritis, kemampuan berfikir di luar kotak adalah satu ciri yang sangat dikehendaki. Dalam dunia kini pendekatan ini telah dipraktiskan dengan luas dalam semua aspek. Kekurangan mungkin berlaku dalam dunia akademik kerana kaedah yang digunakan adalah secara ‘suapan’ dari tenaga pengajar. Format pembelajaran mungkin berbeza, sama ada ‘student centered’ atau ‘non-student centered’ tetapi falsafahnya masih sama iaitu pelajar menanti arahan dari gurunya.

Dalam kehidupan Islam, sifat untuk berfikir keluar dari kebiasaan adalah satu ciri manusia Islam yang bertakwa. Dalam semua hal, Muslim bertakwa tidak melihat perkara di sekitarnya sebagai satu perkara yang dapat mempengaruhi keputusan dan kejadian pada masa depan. Ini berbeza dari yang biasa. Dalam keadaan biasa, manusia akan mencari sebab yang membuahkan akibat.

Ketiadaan wang, misalnya, akan menyebabkan manusia bekerja keras untuk menjalankan aktiviti untuk mendapatkan wang. Pada akhirnya, manusia itu akan yakin, dengan usaha (sebab) yang telah dilakukan akan menghasilkan wang (akibat). Usaha tersebut adalah sesuatu yang berkait terus dengan aktiviti yang dapat mendatangkan akibat iaitu wang. Contoh usaha adalah bekerja makan gaji, berniaga, meminjam wang atau menabung. Inilah bentuk pemikiran yang diikuti dengan usaha yang ‘biasa’. Tidak menjangkau satu yang keluar dari kebiasaan.

Dalam dunia perniagaan dan pengurusan, antara konsep yang diperkenalkan untuk meneroka keluar dari kebiasaan adalah konsep ‘Blue Ocean’. Konsep ini mencipta dunia baru dalam industri agar organisasi tidak bersaing dengan pihak lain, sebaliknya ‘bermain’ dalam dunia ciptaan sendiri. Elemen-elemen dalam dunia ini akan memaksa manusia lain turut berminat dan meraikan ‘dunia’ ciptaan ini. Dunia ini akan membesar dan mengundang pesaing masuk ke dalam dunia yang sama. Pada ketika ini, dunia baru yang lain pula akan dicipta. Contoh relevan adalah perkembangan industri komputer dan telekomunikasi. Inovasi baru yang berterusan telah mencipta dunia baru untuk pencetusnya.

Dalam kehidupan Muslim, konsep ini sebenarnya adalah konsep ‘taqwa’. Konsep ini mengajak manusia supaya keluar dari kebiasaan berfikir dengan tidak bergantung kepada kaitan ‘sebab dan akibat’. Konsep takwa bertunjang kepada ‘takut dan berharap’ kepada Allah SWT secara mutlak. Konsep ini juga memegang frasa dan roh ‘kami dengar dan kami patuh’. Segala yang berlaku semata-mata adalah kehendak Allah Ta’ala. Tiada perkara dan sikap yang dapat menghalang ketentuan itu.

Dalam ilustrasi yang berkisar tentang wang di atas, manusia sebenarnya boleh berfikir keluar dari kebiasaan. Bagaimana pun, kemampuan ini tidak berdiri dengan sendiri. Pasangan bagi berfikir keluar dari kebiasaan ini ialah kepercayaan kepada kuasa yang Agong, iaitu kuasa Allah Ta’ala. Oleh itu, manusian yang tidak yakin dengan kuasa Agong, tidak mampu berfikir dan bertindak luar dari kebiasaan. Hanya manusia beriman sahaja yang mampu melakukannya. Wang hanya boleh diperolehi jika manusia berusaha mendapatkannya dengan jalan yang menyediakan wang sebagai ganjaran. Namun, manusia beriman sepatutnya keluar dari ‘kotak pemikiran’ ini. ‘Wang’ sebenarnya boleh hadir dengan tidak mencarinya secara terus. Wang sebenarnya hanya medium untuk mendapatkan sesuatu. Hanya orang bakhil dan tidak berakal sahaja yang mencari wang dan sekadar menyimpannya sahaja, tanpa digunakan. Mendapatkan kereta, misalnya, memerlukan wang. Tetapi, apakah perlu wang jika kita boleh dapat kereta tanpanya?

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ (٧) وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَتَعۡسً۬ا لَّهُمۡ وَأَضَلَّ أَعۡمَـٰلَهُمۡ(٨)
ذَٲلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَرِهُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأَحۡبَطَ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٩)

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (7) Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka. (8) Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.” (Muhammad, 7-9)

Allah memberi jaminan kepada manusia yang beriman akan mendapat pertolongan sekiranya manusia menolong agama Allah, biarpun pada hakikatnya Allah tidak memerlukan sebarang pertologan dari manusia. Inilah antara ayat yang menerangkan keperluan untuk manusia beriman mengambil pendekatan ‘berfikir di luar kotak’. Sekiranya kita hendak membeli kereta, dengan keyakinan, sepatutnya kita lebih banyak berusaha untuk membela agama Allah.

Sekiranya kita, memerlukan keperluan lain yang lebih diharapkan, sepatutnya kita menggandakan kerja buat kita dalam membela agama Allah. Sekiranya kita mahu menukar kereta yang lebih sesuai untuk keluarga yang besar, kita sepatutnya menjadi ahli jawatankuasa surau sekiranya sebelum ini kita tidak memegang sebarang jawatan. Sekiranya kita belum pernah melakukan sesuatu yang kita rasa telah membela agama Allah, maka inilah masanya untuk kita melakukannya dengan keyakinan semata-mata kerana Allah dan hanya Allah sahaja yang mampu memudahkan hidup kita.

Jalan yang mudah untuk membela agama Allah ialah, dengan memberi sumbangan pemikiran dan idea kepada mereka yang tuan tahu sedang cergas dalam usaha ini. Juga, bersedekah, untuk jalan itu adalah satu yang mudah. Dengan RM1 sebulan sudah memadai dan cukup sebagai langkah permulaan untuk merealisasikan pemikiran dan tindakan ‘di luar kotak’.

No comments:

TRANSLATION