Friday, June 4, 2010

Ketuanan


Mungkin terlalu teknikal jika hendak diberi faham bahawa pihak yang merampas hak sebuah negeri tidak boleh disokong dan menjadi satu yang berdosa untuk disokong dan dipilih sebagai pemimpin. Ambil contoh kes royalti minyak Kelantan, dan Terengganu (yang telah diubah menjadi wang ehsan), beberapa tahun lalu. Bagi mereka yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi, kaitan antara dosa dan wang royalty sukar untuk difahami. Hatta dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A. W sekalipun, isu ini sukar untuk dicerna. Pemahamannya memerlukan kebolehan berfikir yang agak kompleks. Bagaimana mengundi boleh dikaitkan dengan pelantar minyak yang tidak ada hasilnya di negeri tersebut? Ramai yang tidak faham. Secara mudah menyebabkan, pemimpin yang ‘merampas’ hak itu tetap mendapat sokongan.

Isteri pemimpin yang tidak menutup aurat juga bukan isu kecil dalam Islam, tetapi, hendak mengaitkan tindakan isteri pemimpin tersebut dengan kesan undi kepada suaminya, bukan satu konsep yang mudah untuk dijelaskan. Tepisan hujah dengan pendekatan hak asasi manusia, yang turut menjadi perjuangan Islam dan keadilan sejagat, dengan mudah menolak seruan menyokong pemimpin yang lebih baik dari suami kepada wanita yang tidak menutup aurat tersebut. Meskipun, golongan yang menyeru dan golongan yang diseru menganut agama yang sama, iaitu Islam.

Namun, isu JUDI, tidaklah sebegitu teknikal untuk difahami keharaman dan dosa yang datang bersama-sama dengannya. Judi juga tidak banyak ruang untuk dibahaskan dari sudut hak asasi individu kerana JUDI adalah satu perkara yang tidak boleh dilakukan berseorangan, tidak seperti membuka aurat. Judi, sekurang-kurangnya dilakukan secara berpasangan, itu pun tidak ramai yang melakukannya begitu, kerana, ‘untungnya’ sedikit. Sistem perjudian memerlukan lebih dari itu, ada pihak yang berkecuali, ada pihak yang menyokong satu pihak dan ada pihak yang menyokong pihak yang lain secara serentak atau tidak.

Masih adakah orang Islam yang tidak tahu JUDI itu haram, menghalalkan JUDI adalah haram dan dilaknat, dan memilih pemimpin yang menghalalkan judi itu BERDOSA? Bukankah pemimpin yang meluluskan lessen JUDI BOLASEPAK itu beragama Islam dan dia telah berdosa melakukannya? Bukankah menyokong pemimpin ini turut berdosa?

Lebih spesifik, adakah dalam UMNO yang tidak tahu hal ini? Hal ini bukanlah satu hal yang terlalu teknikal dan susah untuk difahami. Tidakkah FITRAH orang Islam dalam diri ahli UMNO sendiri mengakui yang perkara ini berdosa?

Dengan keyakinan sebagai orang Islam, pasti semua orang, termasuk ahli UMNO tahu, JUDI haram dan meluluskan lessen judi adalah berdosa, dan menyokong pemimpin yang meluluskan lessen judi adalah berdosa. Tetapi, kenapa kita masih tidak mahu menolak pemimpin dan parti kita?

Melalui pengalaman dan risalah-risalah yang memperjuangkan ketuanan Melayu, orang Islam UMNO jadi begitu kerana ketakutan ahli UMNO kepada kehilangan kuasa Melayu. Tidak nampak sebab lain, mengapa ahli UMNO masih setia. Tidak tahukah ahli UMNO, judi, buka aurat, menipu, merampas hak, menyeleweng, menyalahguna kuasa itu satu yang haram? tetapi disebabkan kebijaksanaan kita, kita mampu mencari penerangan bersifat TEKNIKAL (seperti isu royalti) untuk meneruskan ‘perjuangan’.

Ketakutan kehilangan kuasa menyebabkan kita menggubal polisi dan mengambil tindakan menjangkau segala peraturan yang ada, sama ada peraturan dari langit atau peraturan manusia. Yang penting, ketuanan Melayu mesti dikekalkan. Inilah perjuangan UMNO (benarkah?) dan fahaman ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk disebarkan, terutama kepada orang macam aku. Pada asalnya, dari kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu Hilang diDunia”, orang Melayu melangkah terus menguasai sekelilingnya. Lama kemudian, Islam datang, dan, orang Melayu mengambil Islam, Alhamdulillah. Islam berkembang kepada seluruh bangsa, tetapi, orang-orang Melayu UMNO tidak mahu melepaskan ‘ketuanan Melayu’ kerana takutkan kehilangan kuasa. Lalu UMNO melihat ketuanan Melayu lebih penting dari segala-galanya, termasuk Islam, sedang orang Melayu lain yang bukan UMNO, melihat Islam lebih penting dari ketuanan Melayu.

Dari situ, timbullah istilah ‘perpecahan Melayu’. Istilah ini adalah istilah perkauman kerana UMNO melihat Melayu sudah terbahagi 2. Mungkin benar. Melayu terbahagi dua tetapi sekarang mungkin terbahagi lebih dari 2, tetapi ketuanan Melayu hanya melihat terbahagi dua sahaja, iaitu Melayu yang tidak menyokong ketuanan Melayu dan melayu yang menyokong ketuanan Melayu. Dalam realiti mudah, melayu UMNO dan melayu BUKAN UMNO. Inilah perpecahan Melayu dimata UMNO. Dari sudut ketuanan Melayu.

Melayu Islam yang tidak menyokong UMNO tidak melihat perpecahan ini, kerana Melayu Islam tidak memberatkan isu bangsa. Jika kita lahir Melayu, sampai mati kita akan Melayu, jadi buatlah macam mana pun, kita tetap Melayu. Jadi, dimana perpecahannya sedangkan semua Melayu tetap Melayu? Islam melihat perpecahan dari sudut yang lain. Kalau hendak dikira berpecah, maka Islam berpecah kepada beberapa bahagian. Antaranya, Islam Munafik dan Islam Fasiq. Itu pun, masih tetap Islam. tidak dihukum. Muslim yang berpecah dari Islam, menjadi kafir, dihukum murtad, dan mesti dibunuh. Itulah perpecahan tahap tertinggi dalam Islam. Islam lebih menumpukan kepada keterbukaan di mana Islam boleh diambil oleh sesiapa sahaja. Islam Arab (atau Arab Muslim), Islam India (India Muslim), Islam Melayu dan macam-macam bangsa lagi.

Muslim, seperti juga Melayu yang yakin kepada ketuanan Melayu, mahukan kuasa untuk menegakkan Islam dalam pemerintahan. Berbeza dengan Melayu yang mahu menegakkan ketuanan Melayu yang tidak ada apa-apa rujukan, Kerajaan Muslim mahu menegakkan Al-Quran dan As-sunnah. Ini bermakna, buat masa ini, Islam sedang kehilangan kuasa! Dan, orang-orang Islam mahu mengambil kuasa dari pihak yang sedang berkuasa. Kebetulan pada masa ini, di Malaysia, golongan Melayu yang takut kehilangan kuasa, sedang berkuasa, iaitu UMNO yang memperjuangkan ketuanan Melayu. Inilah yang sedang berlaku dan inilah sebabnya UMNO tidak akan memberi kuasa kepada ISLAM.

TRANSLATION