Wednesday, July 28, 2010

Mencari I


Mencecah ke suatu tahap, kita akan mahu mendapat suatu genggaman yang berisi untuk kita bawa selama-lamanya. Sebelum ke tahap itu, kita masih mencari. Sepanjang usia hingga ke tahap itu, sebagai contoh jika usia 40 tahun, kita akan mencari, dan, terus mencari. Namun, benarkah kita sedang mencari sesuatu, atau, sebenarnya kita berharap kita mendapat sesuatu. Atau, dengan perkataan yang lebih mudah, adakah kita sedang berusaha atau kita hanya berangan-angan, kita menemui sesuatu yang kita mahu.

Dari Rabiah bin Kaab katanya : Ketika saya bermalam dengan Rasulullah s.a.w. saya bawa air kepada beliau untuk berwudhu' dan hajat yang lain, waktu itu beliau berkata : Ajukanlah permintaanmu kepadaku. Saya berkata : "Saya meminta supaya menemani tuan dalam syurga”. Lalu beliau menjawab : "Atau yang lain?". Saya jawab : "Itu sajalah". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi : "Jika demikian tolonglah aku untuk dirimu sendiri dengan membanyakkan sujud". (Hadis sahih riwayat Muslim)

Macam mana pun, mencari dan berangan-angan boleh jadi realiti yang mengelirukan. Kedua-duanya boleh berbeza dengan sebab wujud satu lagi realiti iaitu fatamorgana. Yang satu akan kelihatan seperti yang satu lagi, namun sebenarnya yang satu lagi itu sebenarnya berlawanan dengan yang satu itu. Kita menjadi tidak pasti mana satu, satu yang kita perlu dan yang mana satu, satu yang kita mahu. Itulah fatamorgana, realiti yang lagi satu, iaitu yang ketiga dalam hal mencari dan angan-angan, yang mengugat realisasi antara mencari dan berangan-angan.

Dalam Surah An-Nisa, ayat 120, memberi peringatan kepada mereka yang mahu mencari dengan terjemahannya, “Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.”

Setelah mencecah umur kita ini, ramai yang mencari sesuatu yang suci termasuk kebenaran, kebajikan, dan kebahagian. Sudah tidak mahu lagi kita mengharungi kehidupan dengan perkara-perkara yang bohong dan menipu, kesengsaraan, susah-payah dan mengelirukan. Kehidupan juga telah memberitahu kita bahawa, secara pukal, keseluruhan nilai-nilai baik ada, berasal dan memang akan kekal dalam Islam. Secara mudah, kita mahu mencari Islam, sekarang. Ketika inilah fatamorgana muncul mengelirukan kita. Mudah-mudahan Allah merahmati kita untuk kekal sebagai orang yang tidak keliru dengan fatamorgana.

TRANSLATION