Friday, August 20, 2010

Terbelenggu

Terbelenggu di bulan puasa
 Diantara hadis yang sering dikumandangkan setiap kali hadirnya bulan Ramadhan ialah hadis yang berbunyi : “Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.Ia adalah hadis yang sahih yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari (lihat Ibnu Hajar, Ahmad bin Ali bin Hajar(1998), Fathul Bari, Kaherah : Dar al-Hadis, jld.4, hlm.140).

Dalam bulan puasa, umat Islam telah faham bahawa syaitan telah dibelenggu sepanjang bulan. Pada masa yang sama umat Islam ditawarkan satu tawaran hebat pulangan berganda dengan amalan dalam bulan puasa. Namun, apa yang berlaku ialah ramai yang ‘berhenti dari berkata-kata’ pada bulan puasa, tidak kira sama ada apa yang diperkatakan itu satu yang benar atau satu yang batil. Senario ini memberi gambaran, orang jahat melakukan kejahatan sepanjang tahun, kecuali dalam bulan puasa. Amerika laknat dan kejam kecuali dalam bulan puasa. Sebenarnya orang jahat tetap jahat selagi dia tidak bertaubat. Tapi kita, mendakwa kerana mahu mengamalkan ajaran Islam, berdiam diri terhadap kezaliman, maksiat, dan pelanggaran perintah Allah, juga dalam bulan puasa. Kita tidak mengutuk kezaliman kerajaan tidak mahu melaksanakan hukum Islam dalan negara ini, sehingga kes buang bayi meningkat. Jika berdasarkan definisi iman, kita masih berada pada tahap iman yang paling lemah, iaitu menentang di dalam hati, dan kita selesa dengan status itu. Mungkin kita telah biasa dengan pendekatan ‘cukup makan’. “Biarlah, asal cukup makan sudahlah”. Seolah-olah tidak ada apa-apa terhadap kemungkaran dan maksiat yang berlaku. Kita rela ‘loh’ kenapa kes-kes rasuah, kes-kes penipuan wang Felda dan Felcra, kes-kes PKFZ, kes Pempena, kes seorang Cina mati diluar bangunan setelah disiasat berjam-jam, kes kematian wanita Mongolia dengan cara kejam mengguna peletup, kes buang bayi dan macam-macam lagi. Namun, kes yang paling besar dimuka bumi ini ialah melanggar perintah Allah dalam kehidupan! Dan, kita diam jugak dalam bulan puasa ini. Siapa yang dibelenggu sebenarnya? Buang bayi tidak mengingatkan kitakah kepada Rasulullah dan para sahabat di Mekah? Kenapa kita sekadar baca dan mengeluh sahaja. Tidak ada apa-apakah yang boleh kita buat, sebelum pilihanraya, itupun, kalau kita percaya pilihanraya adalah alternatif terbaik. Lebih hebat lagi, kita bersekongkol terus menerus dengan golongan yang telah sekian lama berkuasa tapi tidak mahu melaksanakan Islam? Bersekongkol dengan panganjur-penganjur acara-acara pencetus maksiat iaitu konsert, kelab malam, pertandingan menyanyi-nyanyi dan menari yang dihadiri oleh anak-anak muda yang belum bernikah. Tidakkah kita dapat faham, buang anak berpunca dari situ? Inilah bulan puasa, bulan belenggu, untuk siapa? Mencari rezeki sepanjang tahun, bulan puasa pun cari jugak. Kerja lebih besar dari segalanya.

Siapa Syaitan?
Pada kita orang Melayu, syaitan itu memang satu yang jijik. Menyebutnya sahaja sudah terasa menyentap dalam hati. Namun, kalau mahu bermain dengan akal, kita sendiri melihat ramai dikalangan kita, berperangai dan bercakap jahat, nista dan celaka. Ramai orang yang masih mencemuh Islam, menyekat kebebasan hidup membuat pilihan dan membiarkan maksiat berkembang. Namun, kita tidak tersentap dalam hati, sebab bagi kita, itu bukan syaitan. Syaitan digambarkan seperti satu makhluk bertanduk dengan taring menyeramkan, dan dibuat dari api. Gambaran sayitan paling popular ialah pada lambang sebuah pasukan bolasepak liga Inggeris. Kita sudah diajar secara tidak formal, syaitan adalah satu makhluk spesifik sama sepeti ikan duyung atau kucing bertanduk. Syaitan ada tapi kita tidak nampak. Sebenarnya, pendapat Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’, lebih jelas dari syaitan yang kita sangka kita kenal.

Shaitan (شيطان) is the equivalent of Satan in Islam. While Shaitan (شيطان, from the root šṭn شطن) is an adjective (meaning "astray" or "distant", sometimes translated as "devil") that can be applied to both man ("al-ins", الإنس) and Jinn, Iblis (Arabic pronunciation: [ˈibliːs]) is the personal name of the Devil who is mentioned in the Qur'anic account of Genesis. According to the Qur'an, Iblis (the Arabic name used) disobeyed an order from Allah to bow to Adam and as a result was forced out of heaven and given respite until the day of judgment from further punishment.

Permulaan pengenalan kepada syaitan ialah apabila Allah memrintahkan Iblis patuh perintahnya untuk sujud kepada Adam AS.
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. (Al-A'raaf 7:11).

Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (Al-A'raaf 7:12).

Namun, kita faham, itu Iblis, salah satu dari banyak syaitan. Faham kita betul pada peringkat awal, tetapi jika kita terus mengekalkan bahawa hanya Iblis dan jenis-jenisnya sahaja syaitan, maka kita akan keliru, terutama pada bulan puasa. Ini kerana pada bulan Ramadhan, mereka dibelenggu lalu tidak ada syaitan lagi yang bebas di muka bumi ini. Jika ini pandangan kita, tidakkah sepatutnya dalam bulan Ramadhan, semua manusia akan jadi Islam, kerana kejahatan syaitan sudah tidak ada?

Lalu, siapakah yang sentiasa tidak menutup aurat sepanjang tahun, termasuk dalam bulan puasa? Mereka yang tidak berpuasa dalam bulan puasa, mereka yang minum arak dalam bulan puasa, mereka yang berjudi dalam bulan puasa? Bukankah syaitan dibelenggu? Jika logik syaitan adalah makhluk spesifik, maka pemahaman kita bercanggah dengan apa yang Rasulullah s.a.w. beritahu kerana syaitan berjalan dalam badan melalui saluran darah. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, dari hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar”. Dengan tindakan menyempitkan perjalanan syaitan dalam darah dengan berlapar, kita akan bertambah selamat. 


Persoalan timbul, bagaimanakah sesuatu yang dibelenggu tetapi masih kekal di tempatnya seperti sediakala. Sebenarnya, syaitan bukanlah satu lembaga. Syaitan lebih dari itu, syaitan mengelirukan. Penampilannya sahaja sudah cukup mengelirukan. Syaitan mempunyai ciri-ciri universal tetapi tidak seragam. “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maaidah 5:90).  Syaitan juga ada pada setiap tempat dan masa, dan boleh dikenali.

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".” (Al-Baqarah 2:14)

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.” (Al-Baqarah 2:102)

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (Al-An'aam 6:112)


Syaitan kena bakar
Syaitan tidak ada tempat dalam syurga tetapi pada masa yang sama, syaitan juga tidak ada tempat dalam neraka. Allah telah berjanji, di dalam neraka kelak, hanya ada dua jenis bahan bakar sahaja. Lalu, di mana syaitan, di dalam neraka, sekiranya syaitan adalah satu makhluk spesifik?
“Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.” (Al-Baqarah 2:24)

“Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.” (A-li'Imraan 3:10)

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahriim 66:6)

Akhir
Jadi, janganlah jadi syaitan, yang dibelenggu pada bulan puasa. Jadilah manusia yang sedang mengejarkan ketakwaan kepada Allah Ta’ala dengan mengerjakan puasa di bulan Ramadan. Buka mulut dan minda untuk memajukan perjuangan menegakkan hukum Allah. Pelbagai cara boleh dibuat, jika tidak ada kuasa, gunakanlah lisan. Jika, sudah tidak boleh kedua-duanya, kekallah kita sebagai pemilik iman paling lemah dengan membenci kemungkaran. Mungkin itu lebih baik, berbanding bersekongkol dan membenarkan kemungkaran subur dalam negara ini.

No comments:

TRANSLATION