Monday, August 9, 2010

Mencari III

Dengan bermuhasabah kita dijangkakan dapat bertemu apa yang kita cari. Muhasabah, juga ada yang menterjemah dengan retrospeksi diri, tidak membawa apa-apa erti jika prosesnya hanya sekadar melihat kepada diri sendiri. Muhasabah berjaya ialah muhasabah yang memberi perubahan. Mungkin seorang perokok bermuhasabah setiap hari tetapi dia juga akan menghisap rokok pada setiap pagi sewaktu ke tandas. Jika ini keadaannya, muhasabah yang dilakukan tidak memberi apa kebaikan kepada diri. Bahkan, dari segi pengertian hakiki, dia tidak pernah bermuhasabah. Perokok itu sebenarnya tidak pernah mencari apa-apa tentang tabiat merokoknya. Muhasabahnya berjaya jika dia berhenti membeli dan menghisap merokok.

Muhasabah tidak tercetus begitu sahaja. Muhasabah tercetus kerana ada satu peristiwa yang mengingatkan kita tentang satu tabiat pada diri kita. Perokok akan mula bermuhasabah, jika dia melihat bapanya meninggal dunia kerana paru-parunya telah berlubang kerana kesan rokok. Akhirnya, perokok itu berhenti membeli rokok, sebelum dia berhenti menghisap rokok.

Peristiwa yang mencetus muhasabah, adalah satu peringatan kepada diri, dalam bahasa orang-orang mendengar ceramah, tazkirah. Berasal dari kata asal zikir, bermakna ingat, merujuk khusus kepada mengingati Allah S.W.T, tazkirah adalah pencetus dan pemantapan tazkirah adalah pendidikan menuju matlamat mencari. Pendidikan adalah tarbiyyah. Tarbiyyah boleh muncul dan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Peringatan (tazkirah) adalah satu nsur dalam pendidikan (tarbiyyah). Ada tazkirah berupa amalan, seperti berpuasa dalam bulan Ramadan, tazkirah boleh datang dalam bentuk ucapan, seperti majlis ilmu dan syarahan, tazkirah juga boleh boleh muncul dalam bentuk peristiwa. Lelaki yang selamat dari maut dalam kemalangan jalanraya selepas memandu laju mencecah 250 kilometer sejam, mungkin baru menerima tazkirah. Namun, boleh juga dia keliru dan hanya melihat fatamorgana dengan memuji kehebatan keretanya yang sangkanya telah menyelamatkan nyawanya.

Tazkirah perlu kepada manusia kerana manusia boleh jadi lupa atau terlampau. Lelaki yang lupa, akan segera muhasabah diri kerana kealpaannya. Makan tengahari dalam bulan puasa bagi orang Islam yang berpuasa adalah berdosa dan membatalkan puasa, tetapi dengan peringatan dari orang lain, mungkin isterinya, akan membetulkan keadaan dan membolehkan lelaki tadi berpuasa terus, walaupun sudah makan tengahari. Dia lupa.

No comments:

TRANSLATION