Tuesday, August 17, 2010

SayapSayap

Jika diikutkan nafsu kehendak, manusia mahu bebas tidak dikongkong. Bahkan, jika ada manusia yang membuat undang-undang dan peraturan, dengan alasan kebaikan, pembuat undang-undang itu sendiri pun tidak mahu terikat dengan undang-undang yang digubalnya. Manusia hendak bebas, seakan-akan bersayap. Boleh terbang sesuka hati. Hendak pergi ke mana-mana, boleh sahaja. Makan apa sahaja boleh sahaja, tidor di mana-mana, boleh sahaja. Inilah kesedapan yang manusia cari, dan inilah juga balasan Allah S.W.T kepada manusia yang dikehendakiNya.

“Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka)”. (QS. Yasin, ayat 55).

“Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta”. (QS. Yasin, ayat, 57)

“di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat”. (QS. as-Shaffat, ayat 43)

Bebas adalah sifat semulajadi dalam diri manusia. Ia kekal selagi manusia itu juga bebas dan tidak menjadi hamba. Bebas, adalah satu perkara paling bernilai bagi manusia yang tidak bebas. Hamba misalnya, akan mengalami satu anjakan berskala mega sekiranya dapat ‘bebas’. Sesuai dengan sifat hamba, bebas hanya boleh diberi oleh tuannya sahaja. Bebas yang diberi oleh rakan sejawat, tidak ada apa-apa nilai, kecuali bahan lawak, kepada seorang hamba.

Dalam konteks makhluk, pencipta sahaja yang boleh memberi bebas kepada mahkluk itu, kerana makhluk itu adalah ciptaannya. Dalam konteks manusia, Allah S.W.T sahaja yang boleh memberi bebas kepada manusia, kerana manusia adalah ciptaanNya. Manusia dicipta bukan dengan kehendak sendiri tetapi penciptaan itu bukanlah pula satu malapetaka. Bahkan penciptaan itu satu nikmat bagi manusia.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (QS. adz-Dzariyat, ayat 56).

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (QS. an-Nahl, ayat 18).

Manusia bernaluri semulajadi bebas dan hanya Allah S.W.T sahaja yang layak memberi bebas kepada manusia. Begitu juga, hanya Allah S.W.T sahaja yang layak memberi garispanduan dan ciri-ciri bebas kepada manusia. Allah S.W.T sahaja yang berhak menghadkan pantang-larang manusia. Allah S.W.T sahajalah yang layak dan berhak menciptakan undang-undang dan peraturan untuk manusia. Sekaligus, hanya undang-undang dan peraturan Allah S.W.T sahajalah yang layak manusia patuhi.

Manusia tidak perlu kepada peraturan lain jika mahu bersayap-sayap, sebenarnya. Manusia merasakan, mereka perlu kepada peraturan ciptaan mereka sendiri kerana mendapati peraturan Allah S.W.T sukar untuk dipatuhi, lalu mereka membuat peraturan sendiri yang boleh mereka patuh jika mereka suka, dan mereka ingkar jika mereka suka. Lebih jahat daripada itu, manusia memaksa masyarakat untuk turut patuh kepada peraturan yang telah manusia itu cipta. Kejahatan itu berpanjangan pula, kerana ada golongan yang tidak tahu apa-apa, meneruskan tradisi dengan mengekalkan peraturan ciptaan manusia tadi. Lalu, secara turun-temurunlah manusia sentiasa berada dalam ingkar kepada Tuhan yang berhak dan layak menjadi Tuhan. Inilah kejayaan manusia ingkar untuk dirinya, jika diukur dengan pengukur yang sesat dari petunjuk Allah S.W.T.

“Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al Qur'an itu sebagai peraturan (yang benar) dalam bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (siksa) Allah”. (QS. ar-Ra'd, ayat 37).

Seruan kepada kembali kepada hukum Allah S.W.T sebenarnya adalah seruan kepada bebas yang sebenar, bebas yang tidak tunduk kepada perkara yang lain kecuali Allah S.W.T, dan peraturan-peraturanNya. Dengan bebas yang sebenar, manusia akan tidak takut kepada kehilangan kuasa, manusia tidak takut tidak cukup makan dan manusia tidak takut dengan ancaman dari bangsa yang berbeza. Manusia akan jadi berani. Manusia berani kerana manusia telah bebas secara sebenarnya. Manusia berani kerana manusia yakin dengan kuasa Allah Ta’ala. Manusia memang tidak ada sayap, tetapi bebas itu lebih berharga dari sayap kerana manusia memang tidak boleh terbang, walaupun bersayap.

Lalu bukankah patut manusia menentang golongan yang menghalang manusia lain untuk bebas secara sebenarnya. Bebaskan manusia dengan Islam.

No comments:

TRANSLATION