Monday, February 7, 2011

Wajah Pembenci Islam

Akhirnya keluar kenyataan, jika dia berundur, maka kumpulan pembangkang dari ikhawanul muslimin akan menguasai kerajaan. Lalu dengan segenap kuasa, dia bergantung terus kepada jawatannya sebagai ketua Negara. Inilah wajah sebenar sekularisme Arab.

Budaya Arab mungkin tidak sekuat budaya Melayu sehingga lahir istilah ketuanan Melayu. Di Negara Arab, perkauman sudah tidak laku, jadi tidak ada ketuanan Arab. Bangsa Arab sudah terlebih dahulu ‘terbuka’ dalam hal kepercayaan kepada Tuhan. Tetapi, bukan baru. Orang Arab sudah ada yang Kristian, penyembah api dan bukan Islam, semenjak zaman kenabian para Rasul di tanah Arab dan Mesir lagi. Jadi, tidak ada istilah Arab itu Islam dan Islam itu Arab. Tidak seperti di tanah Melayu yang telah diasuh supaya akur dengan pengkhususan Melayu itu Islam dan masuk Islam itu sama dengan masuk Melayu. Jadi untuk menyelamatkan ketuanan Melayu, bangsa lebih diutamakan.

Sekular di kalangan Arab, terpaksa menghulur kepala apabila terdesak. Ketakutan kepada kumpulan Islam yang unggul, Ikhwanul Muslimin menjadi alasan sebenar diktator Mesir tidak mahu menyerah kuasa. Bukan kerana takut bangsa lain selain Arab berkuasa tetapi dia lebih takut jika ISLAM berkuasa. Sikap ini tidak menguntungkan sesiapa pun hatta dirinya sendiri. Yahudi Israel memang gembira selagi ISLAM tidak berkuasa. Telah berlaku di Palestin, kumpulan HAMAS telah dipilih oleh rakyat Palestin untuk memimpin tetapi disebabkan kebencian pada ISLAM, kumpulan HAMAS telah dilabel pengganas dan diperangi habis-habisan oleh Yahudi Israel dan Amerika. Tapi, di Negara lain Yahudi tidak boleh buat begitu kecuali ada ‘orang dalam’ yang membuka pintu untuknya. Orang itu mestilah menganut fahaman sama dengan apa yang mereka mahu iaitu benci kepada ISLAM, tidak kiralah sekularisme, nasionalisme atau badan-badan bukan kerajaan. Inilah matlamat akhir, biarlah sesiapa pun berkuasa, asalkan bukan ISLAM.

Fenomena ini bukan hanya di Mesir. Inilah fenomena sejagat. Allah telah berjanji Yahudi dan Nasrani tidak reda kepada Islam sehinggalah orang Islam mengikuti cara hidup mereka. Maka, usaha mereka ialah dengan membuatkan orang Islam tidak melaksanakan hudud, menjalankan ekonomi berasaskan riba’, melaksanakan cukai pendapatan dan cukai-cukai lain menggantikan zakat dan meletakkan istilah ‘moden’ kepada semua perkara yang bukan Islam. Tidak dapat terus meresapi orang-orang Islam, musuh ini mencari ‘orang dalam’ untuk membuka ‘pintu’. Lalu, muncullah Muslim yang benci dengan Islam. Pada masa yang sama mengisytihar diri sebagai penyelamat Islam, seperti kerajaan dictator Mesir, Tunisia dan Algeria. Tidak jauh beza dengan Malaysia.

Budaya Melayu telah dipahat dengan pendekatan Hang Tuah yang patuh membuta tuli kepada ‘raja’. Apabila kuasa raja-raja telah ‘diuruskan’ dengan cermat, maka pengurus kuasa itulah yang berkuasa. Melayu tidak pernah ada dictator perseorangan tetapi dalam bentuk kumpulan. Melayu masih berpegang teguh kepada ‘bersatu teguh, bercerai roboh’, ‘bulat air kerana pembentong’ dan ‘air dicincang tidak akan putus’ di samping ‘tak akan melayu hilang didunia’. Lalu dictator Melayu adalah sebuah kumpulan yang menjadi orang dalam dan boleh membuka pintu kepada kebencian terhadap Islam.

Mesir dan Malaysia mempunyai persamaan penentang iaitu kumpulan yang memperjuangkan Islam. Inilah hebatnya Negara sekular yang mendakwa Islam sebagai agama rasmi. Dalam menegakkan Islam, penentang utama kerajaan ialah kumpulan Islam. Dan, orang-orang yang berada dalam kumpulan Islam ini, diberi gelaran ulama politik. Mereka ini boleh dihina dan dipinggirkan kerana dalam politik semua boleh, politik adalah satu yang kotor, jadi ulama yang berpolitik adalah ulama kotor yang membolehkan semua perkara asalkan mendapat kuasa. Bagaimana pun, perogol dan pencuri boleh berpolitik dan tidak menjadi satu kesalahan sebab politik ini kotor. Dan mereka lebih mulia dari ulama yang berpolitik kerana mereka ikhlas dan tidak menggunakan agama untuk mendapatkan kuasa. Inilah stigma sesat yang masih belum dapat dikikis dari pemikiran orang kebanyakkan.

Di Malaysia, kenyataan takutkan Islam bukan perkara tidak biasa. Ada seorang lelaki yang telah mengaku berzina di sebuah hotel Batu Pahat, dengan gagah bertanya apakah kehebatan manusia jika dia mengetahui nilai-nilai Islamik. Lelaki ini terang-terang mengatakan peempuan Islam yang bersalam dengan bersarung tangan adalah biadap!. Lelaki ini juga berkata, masyarakat bukan Islam akan huru hara jika kumpulan Islam PAS memerintah. Tidakkah seruan ini sama dengan seruan diktator Mesir?

Hebat lagi, rakan-rakan politik lelaki penzina ini turut berjenaka potong tangan jika kumpulan Islam memerintah. Seorang lelaki lain yang pernah didapati bersalah kerana memberi duit supaya orang lain mengundi dirinya dalam pemilihan partinya, pula berkata Islam yang dibawa oleh PAS adalah Islam yang terpesong. Hebat lagi orang ini sekarang memegang jawatan besar dan menjaga kepentingan pekebun-pekebun kelapa sawit.

Wajah pembenci ISLAM semakin jelas kepada umum. Munculnya tidak dapat dijangka tetapi pasti. Menumpang nama nasionalis, sekularis dan macam-macam lagi, hati kecilnya tetap sama iaitu benci kepada kebenaran dan keadilan. Sifatnya tetap sama, menentang ISLAM yang lengkap. Karaktornya ialah pembenci ISLAM, di mana-mana sahaja.



No comments:

TRANSLATION