Tuesday, February 8, 2011

Sekolahkan Mereka

Mencecah sahaja tahun 6, anak-anak dikerah untuk menghadiri tuisyen oleh pihak sekolah. Ada yang riang sebab dapat belajar lebih. Tidak bagi mereka yang tidak mampu.

Tuisyen sekolah, dalam konteks hidup di pinggir Bandar, tidak percuma. Mungkin kita telah diajar bahawa dalam hidup ini tidak ada yang percuma. Bayaran dikenakan oleh sekolah melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Bukanlah mahal sangat, bagi golongan menengah.

Bertemu dengan seorang anak kecil yang seusia dengan anak, terkejut melihatnya, lalu bertanya “Kenapa tak pergi tuisyen kat sekolah”. Tidak menduga jawapan yang akan diberi membuatkan mahu pergi ke sekolah segera dan menarik anak pulang, tapi terpaksa dipendam. “Kena bayar Cik. Mana ada duit, Cik!”. Telan airliur.

Bukan hendak mengemis dana untuk mereka tapi membuka minda. Tuisyen sekolah diurus dan dilaksanakan oleh guru-guru sekolah. Mata pelajaran yang diajar adalah matapelajaran yang sama seperti dalam korikulum. Tempat belajar tuisyen adalah tempat yang sama anak-anak belajar pada siang hari. Tempoh masa yang di ambil lebih kurang sejam setengah. Peserta adalah anak-anak yang sama. Bezanya, ‘sedikit’ bayaran dikenakan. Bagi yang mampu, tiada masalah.

Menghadiri sekolah dan belajar dengan kawan-kawan adalah keseronokan anak-anak. Tidak kira malam atau siang. Jika tidak dibenarkan tanpa sebab anak-anak pasti memberontak. Lalu ibubapa menghantar anak kerana tidak mahu anak kecewa dan membenrontak, sekurang-kurangnya itulah satu alasan yang ada.

Perbelanjaan sekolah bertambah meningkat tapi bagi yang mampu, tidak ada masalah. Namun, keadaan sekolah yang serba kekurangan mungkin membuatkan cikgu-cikgu terpaksa berfikir seoerti ahli perniagaan untuk mendapatkan dana. Lalu, banyak aktiviti yang dilakukan untuk mendapatkan dana. Pelbagai ‘thon’ dianjurkan setiap tahun. Dana-dana digunakan untuk pelbagai tujuan. Dari membaiki tandas, membeli buku untuk menaiktaraf perpustakaan sehinggalah membeli kerusi meja. Mana tidaknya, lihatlah kelas tahun 1 di tempat anda, berapa kelas? Ada sekolah yang membuka 15 kelas untuk pelajar tahun 1 dengan setiap kelas menampung 30 orang. Itu sahaja sudah 450 orang. Sudah tentu tandas, bilik bacaan, alatan sukan dan lain-lain lagi tidak cukup untuk menampung lebih 1000 pelajar. Tentulah cikgu-cikgu risau untuk menghadapi kerenah anak-anak. Lalu, cikgu-cikgu tidak sempat mengajar pada waktu hari persekolahan biasa kerana teralu sibuk dengan tugas-tugas lain. Tidak termasuk cikgu-cikgu yang ada jawatan dan perlu menghadiri banyak mesyuarat. Untuk mengatasi kemungkinan keciciran, sekolah mengadakan tuisyen. Ini hanya di pinggir Bandar dan dibandar.

Dirumah, anak-anak dibekalkan dengan teknologi hiburan yang terkini. Ada yang memiliki permainan PS, Xbox dan macam-macam lagi. Televisyen canggih paling nipis dan ringan juga disediakan. Saluran televisyen berbayar melengkapkan lagi keceriaan. Kalau asyik begaduh dengan ayah, antara kartun dan bola, ayah tambah lagi satu siaran berbayar.  Tidak setakat ini, anak-anak boleh melayari internet dengan selesa. Bila diluar rumah, anak-anak sudah dibekalkan dengan telefon bimbit supaya ‘kalau ada apa-apa, senang!’. Wang saku juga diberi. Sekarang sudah bukan duit syiling dibawa kesekolah, malah ada yang mampu membawa ‘purse’ sama jenamanya dengan milik mamanya. Ada anak lelaki yang gemar bermain bolasepak, dihadiahkan kasut bola lebih mahal dari jurulatihnya. Jurulatih terasa malu nak pakai kasut bola 50 ringgit.

Semua ini tidak percuma.

Ibubapa anak-anak ini ‘berada’. Setiap bulan memberi ‘sumbangan’ kepada Astro, perkhidmatan internet dan telefon mudah alih, mungkin lebih dari satu. Ada pula yang mewah, merokok dengan kos 10 ringgit sekotak untuk sehari. Jika 30 hari, 300 ringgit. Duit inilah yang boleh membantu sekolah anak-anak.
Kalau tidak mahu menderma kepada anak-anak atau orang miskin yang tidak mampu, kalau mampu tidak ada masalah, keluarkanlah anak anda dari sekolah!


Tindakan ini dapat membantu banyak pihak. Pertama, anda mengurangkan kesesakan sekolah tersebut, terutama jika anda mempunyai ramai anak. Bukan berhenti disitu sahaja. Hantarkanlah anak-anak anda ke sekolah swasta, yang berbayar setiap bulan. Kalau anda merokok, ini lebih praktikal untuk anda berhenti merokok. Duit itu cukup untuk membayar yuran sekolah anak-anak. Purata yuran sekolah swasta ialah 200 hingga 400 sebulan. Yuran ini adalah untuk sekolah beraliran agama yang didalamnya ada sekurang-kurangnya 2 jenis kurikulum iaitu KBSR/KBSM dan Musleh. Musleh adalah untuk beberapa sekolah beraliran agama. Jika tidak menggunakan Musleh pun, mereka akan gunakan kurikulum bersepadu.
Anda juga akan membantu merancakkan ekonomi Negara dan membantu usahawan dan sukarelawan yang terlibat dengan sekolah swasta tersebut. Setingkat lagi, anak-anak anda akan telbih terdedah kepada pengetahuan Islam dan Al-Quran pada usia yang muda. Ini semua jika mampu, dan tiada masalah kewangan. 

Dan, dari pengalaman yang ada, anda yang membaca tulisan ini, adalah dari golongan yang mampu.

Berikanlah peluang menikmati pelajaran percuma dan tanpa tekanan kepada mereka yang lebih memerlukan. Ramai lagi yang hidup antara tidak susah dan tidak senang, terutama dipinggir Bandar seperti Bangi, Nilai, Senawang, Sekudai dan Ampang, yang dibebani tuntutan kewangan untuk memenuhi keperluan belajar anak-anak mereka. Sudah tiba masanya, golongan seperti anda, tidak terlibat lagi dengan perkara-perkara dan benda-benda yang percuma, ‘free, tak kena bayar’. Pencapaian tahap pendidikan dan kerjaya sudah sepatutnya anda meninggalkan alam keistimewaan semasa kanak-kanak. Anda sudah mampu. Bukankah kita selalu berkata, ‘rezeki anak-anak’. Jadi, janganlah habiskan rezeki anak-anak untuk rokok, televisyen, internet dan telefon bimbit, pada masa yang sama kita mencari benda ‘free’ untuk anak-anak kita. Mana rezeki anak-anak itu?

No comments:

TRANSLATION