Friday, February 11, 2011

Kalaulah...

Kalaulah Malaysia mempunyai perdana menteri perempuan.

Rekod politik moden antarabangsa telah menyaksikan beberapa Negara telah dan sedang mempunyai ketua Negara, perdana menteri atau presiden dari golongan wanita. Terhebat hingga kini, ialah Great Britain, yang pernah menyaksikan Margaret Thatcher menduduki jawatan tersebut buat beberapa kali pusingan pilihanraya. India juga pernah mengalami proses ini, bersama Pakistan, dan Sri Lanka. Negara-negara barat lain pula termasuk German. Wanita telah memperlihatkan kepada dunia, mereka juga boleh menjadi pemimpin utama sebauah kerajaan. Sama ada efisyen atau tidak, terpulang kepada penilaian.

Begitu juga disebelah Asia Tenggara, Negara Filipina dan Indonesia telah mengalaminya dan kesannya, bergantung kepada interpretasi individu. Jika dilihat dari segi proses, ia kelihatan hampir sama. Individu yang mahu menawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri atau Presiden akan terlebeih dahulu mendapat mandat dari parti politik yang diwakilinya, untuk memasuki pertandingan pemilihan ketua Negara.

Di Malaysia, keadaan ini belum pernah berlaku. Terdapat ramai pemimpin wanita yang berkaliber dan telah dan sedang memegang jawatan penting dalam Negara ini, namun belum ada lagi yang naik sehingga ke peringkat perdana menteri. Dalam organisasi lain seperti Bank Negara dan lain-lain, termasuk sektor swasta, wanita telah memperlihatkan kemampuan mereka sebagai pemimpin utama.

Seperti di Filipina dan Indonesia, seseorang wanita yang mahu menawarkan khidmatnya sebagai pemimpin utama mesti mendapat mandat dari parti yang dianggotainya. Wanita itu kemudian, berbeza dengan Filipina dan Indonesia, mesti memenangi pertandingan merebut kerusi dengan wakil parti lain, untuk menjadi ahli Parlimen. Sekiranya, seorang individu, sama ada lelaki atau wanita, itu menang diperingkat negeri, yang membolehkan mereka menjadi ahli dewan undangan negeri, mereka tidak layak menjadi Perdana Menteri. Untuk melayakkan seorang wanita menjadi perdana menteri, wanita tersebut mesti melayakkan diri untuk menjadi ahli dewan undangan rakyat, yang juga dikenali sebagai parlimen. Setelah itu, barulah seorang wanita itu layak untuk dilantik menjadi perdana menteri Malaysia wanita yang pertama dalam sejarah. Sehingga hari ini, sejarah ini belum bermula.

Jika Perdana Menteri Malaysia seorang perempuan, tentulah dia akan sibuk membahagikan masa antara keluarga, suami dan kepentingan rakyat. Tugasnya bertambah besar berbanding perempuan lain. Apa tidaknya, perdana menteri akan selalu mengadakan lawatan-lawatan penting sama ada dalam atau luar negeri. Dan, semasa lawatan tersebut belum tentu suaminya dapat bersamanya, seperti apa yang berlaku pada perdana menteri lelaki Malaysia yang kadangkala terpaksa pergi mengadakan lawatan tanpa ditemani isteri. Apatah lagi, kalau suaminya juga merupakan seorang pemimpin bagi organisasi yang penting. Populariti perdana menteri perempuan Malaysia juga akan lebih menonjol pada mata masyarakat tempatan dan antarabangsa, kerana, itulah kali pertama Malaysia mempunyai perdana menteri perempuan. Sifat ketimuran yang lemah lembut dan menjaga tatasusila berpakaian juga akan menyebabkan perdana menteri perempuan Malaysia yang pertama menjadi lebih disenangi oleh rakyat tempatan terutama golongan wanita warga emas. Mereka pasti akan berebut-rebut untuk bersalam dan berpelukan, jika ada kesempatan.
   
Walaubagaimana pun, risiko populariti suami mengatasi populariti Perdana Menteri perempuan yang pertama, mungkin akan menyebabkan kredibiliti perdana menteri perempuan itu berkurang. Masyarakat akan membuat andaian bahawa setiap keputusan yang perdana menteri perempuan itu buat telah dipengaruhi oleh suaminya. Lama kelamaan, stigma ‘under control’ akan menjadi bebanan kepada perdana menteri perempuan yang pertama itu. Begitu juga, orang akan memberi sambutan yang setaraf menteri kepada suami perdana menteri jika beliau hadir atas kapasiti individu, bukan bersama isterinya. Lama kelamaan, masyakarat menjadi keliru dengan peranan dan jawatan yang disandang oleh suami dan isteri dalam keluarga perdana menteri perempuan yang pertama di Malaysia kelak.

Mungkin, kerana terlampau menyayangi suaminya, Perdana Menteri akan mewujudkan satu bahagian atau organisasi untuk suaminya memberi sumbangan kepada negara, sama seperti apa yang beliau sendiri lakukan, iaitu berkhidmat untuk rakyat Malaysia. Sedikit peruntukan akan disediakan, begitu juga dalam belanjawan negara, sedikit peruntukan akan disediakan, khusus untuk suaminya menjalankan projek sosial yang boleh membantu memajukan masyarakat. Rakyat tentu akan lebih menyanjung keluarga Perdana Menteri kerana jelas, seluruh ahli keluarga beliau begitu komited kepada negara untuk membantu rakyat Malaysia, mungkin.

Dalam hubungan luar negara pula, suami Perdana Menteri tentu boleh memberi sumbangan kepada negara dengan menjalinkan hubungan akrab dengan ketua-ketua negara lain terutamanya jika ketua negara tersebut adalah seorang lelaki. Mungkin suami Perdana Menteri boleh mengadakan lawatan kerja tanpa ditemani isterinya, yang merupakan ketua Negara. Ini dapat membantu isterinya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain di dalam negara yang lebih mendesak. Begitulah hebatnya kesan, jika Perdana Menteri Malaysia ialah seorang perempuan.

Tapi, itu semua belum terjadi di Malaysia. Kesediaan rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan akan menjadi faktor penting dalam mencatat sejarah melantik perdana menteri perempuan Malaysia yang pertama pada masa akan datang.

No comments:

TRANSLATION