Friday, March 21, 2008

Wa Dan Buku 1


Semasa zaman aku tengah ‘naik’ aku tak pernah jumpa buku tentang rock, aku rasa belum ada. Atau memang dah ada tapi aku tak pernah tau.

Buku yang pertama sekali aku baca masa aku sedang membesar ialah buku tentang ‘alif, ba, ta’. Tapi, orang tak panggil dia buku, orang panggil ‘muqaddam’. Pada masa itu, buku ini cuma ada dalam sistem pembelajaran anak-anak melayu, dan Islam, secara tidak formal. Kalau kat kampong dulu, budak-budak kena habis buku ini dahulu sebelum ‘naik quran’. Quran ini pun orang tak panggil buku, ini cerita dululah ni.

Buku sekolah ‘awal mula pertama mula’ (direct translation ‘first and foremost?’) aku ialah buku ‘Ini ayam. Ini ayam jantan. Ayam jantan ini besar dan cantik.’ Sekolah masuk tiga bulan aku dah habis baca buku ni. Baca buku ni lebih senang dari baca ‘muqaddam’ sebab buku ni tak ada ‘baris’. Cerita dalamnya pun senang faham. Lebih kurang 5, 6 orang saja sebagai pelakon utama. Ali, Ah Chong, Ramasami dengan Salmah. Ada juga yang berlakon jadi cikgu, tapi aku tak ingat nama diaorang. Mungkin sebab cikgu dulu garang-garang sangat. Yang lain pulak tak berapa ‘glamor’.

Bila ‘naik kelas’, buku mula bertambah dan semakin tak menarik. Cerita dalam buku semua dah tak ada yang kelakar kecuali cerita Pakcik Kordi dengan sifat kebodoh-bodohannya. Itu pun taklah sekelakar mana, sebab pada aku, Pakcik Kordi kena kutuk ‘rapat’, tak ada peluang Pakcik Kordi nak bela diri dia. Entah siapa yang buat buku macam tu untuk budak-budak sekolah, aku pun heran. Kesian Pakcik Kordi, dahlah gemuk, bodoh pulak tu!

Pada masa ini, rock tengah naik. Maklumlah tahun 70-an. Kalau masih ingat zaman ni zaman ‘side-burn panjang’, rambut pulak lagi afro lagi cun, saiz kolar baju macam selipar jepun, besar-besar. Lagu pulak banyak gitar dengan ‘organ’. Layan.. Aku selalu dengar lagu orang putih pakcik aku punya ‘collection’. Aku tak pernah nampak kaset atau ‘compact disc’ masa tu. Dia guna ‘records’ pasang kat ‘records player’. Makcik aku panggil ‘radio gram’.
Aku mula layan Deep, Rainbow, Scorpion selain Abba dengan Boney M. Apa dia orang sebut dalam lagu, aku tak boleh sebut balik. Setakat dengar je la sebab aku pelik tengok pakcik aku suka layan lagu-lagu yang tak ada orang faham. Jadi aku cuma nak tau apa benda sebenarnya yang sedap sangat. Aku ingat pakcik aku sorang je dalam kampong yang dengar lagu-lagu orang putih ni. Itupun sebab dia pernah sekolah melayu yang cakap orang putih, Malay College Kuala Kangsar. Mak aku kata sekolah ni paling ‘power’ kat Tanah Melayu masa tu. Sekarang pakcik aku dah join tabligh. Keluar beb…keluar! 40 hari tuan, 40 hari azam…. . tapi bila dengar lagu Abba sekali sekala, tersengih dia.

Sekolah menengah aku bukan dekat kampong. Masuk sekolah ini, ada 2 buku yang paling ‘top’.

Nombor satu buku sains paduan. Specifically, bab 6 helaian 9. Aku punya semangat nak tau apa ada dalam bab tu, dapat je buku teks terus tengok bab tu. Rupanya bab persenyawaan. Tapi, abang-abang senior kata, aku kena tengok buku latihan. Lagi best.

Bila dapat, aku tengok. La…buang karan!. Gambar lukisan macam lukisan kartun. Aku ingat gambar betul!!.

Nombor dua, buku lagenda budak-budak sekolah berasrama penuh, at least kat sekolah aku. Mona Gersang. Hebatnya lagenda (definisi lagenda ialah perkara sejarah yang ditokok tambah, kata K.K. Kim) buku ini sampai orang yang tidak pernah baca pun boleh cerita apa yang ada dalam buku ni. Mula dari tingkatan satu sampai tingkatan 5, usaha mendapatkan buku ini tetap diteruskan. Namun, hasilnya tak ada. Ada orang kata buku ni dah tidak dicetak lagi. Pelik juga. Kalau hebat sangat, kenapa tak ada ulang cetak. Sampai sekarang aku tak pernah jumpa buku ni.

1 comment:

Mohamad Sofian said...

ok la boleh kongsi xperient

TRANSLATION