Wednesday, July 28, 2010

Mencari I


Mencecah ke suatu tahap, kita akan mahu mendapat suatu genggaman yang berisi untuk kita bawa selama-lamanya. Sebelum ke tahap itu, kita masih mencari. Sepanjang usia hingga ke tahap itu, sebagai contoh jika usia 40 tahun, kita akan mencari, dan, terus mencari. Namun, benarkah kita sedang mencari sesuatu, atau, sebenarnya kita berharap kita mendapat sesuatu. Atau, dengan perkataan yang lebih mudah, adakah kita sedang berusaha atau kita hanya berangan-angan, kita menemui sesuatu yang kita mahu.

Dari Rabiah bin Kaab katanya : Ketika saya bermalam dengan Rasulullah s.a.w. saya bawa air kepada beliau untuk berwudhu' dan hajat yang lain, waktu itu beliau berkata : Ajukanlah permintaanmu kepadaku. Saya berkata : "Saya meminta supaya menemani tuan dalam syurga”. Lalu beliau menjawab : "Atau yang lain?". Saya jawab : "Itu sajalah". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi : "Jika demikian tolonglah aku untuk dirimu sendiri dengan membanyakkan sujud". (Hadis sahih riwayat Muslim)

Macam mana pun, mencari dan berangan-angan boleh jadi realiti yang mengelirukan. Kedua-duanya boleh berbeza dengan sebab wujud satu lagi realiti iaitu fatamorgana. Yang satu akan kelihatan seperti yang satu lagi, namun sebenarnya yang satu lagi itu sebenarnya berlawanan dengan yang satu itu. Kita menjadi tidak pasti mana satu, satu yang kita perlu dan yang mana satu, satu yang kita mahu. Itulah fatamorgana, realiti yang lagi satu, iaitu yang ketiga dalam hal mencari dan angan-angan, yang mengugat realisasi antara mencari dan berangan-angan.

Dalam Surah An-Nisa, ayat 120, memberi peringatan kepada mereka yang mahu mencari dengan terjemahannya, “Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.”

Setelah mencecah umur kita ini, ramai yang mencari sesuatu yang suci termasuk kebenaran, kebajikan, dan kebahagian. Sudah tidak mahu lagi kita mengharungi kehidupan dengan perkara-perkara yang bohong dan menipu, kesengsaraan, susah-payah dan mengelirukan. Kehidupan juga telah memberitahu kita bahawa, secara pukal, keseluruhan nilai-nilai baik ada, berasal dan memang akan kekal dalam Islam. Secara mudah, kita mahu mencari Islam, sekarang. Ketika inilah fatamorgana muncul mengelirukan kita. Mudah-mudahan Allah merahmati kita untuk kekal sebagai orang yang tidak keliru dengan fatamorgana.

Friday, June 4, 2010

Ketuanan


Mungkin terlalu teknikal jika hendak diberi faham bahawa pihak yang merampas hak sebuah negeri tidak boleh disokong dan menjadi satu yang berdosa untuk disokong dan dipilih sebagai pemimpin. Ambil contoh kes royalti minyak Kelantan, dan Terengganu (yang telah diubah menjadi wang ehsan), beberapa tahun lalu. Bagi mereka yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi, kaitan antara dosa dan wang royalty sukar untuk difahami. Hatta dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A. W sekalipun, isu ini sukar untuk dicerna. Pemahamannya memerlukan kebolehan berfikir yang agak kompleks. Bagaimana mengundi boleh dikaitkan dengan pelantar minyak yang tidak ada hasilnya di negeri tersebut? Ramai yang tidak faham. Secara mudah menyebabkan, pemimpin yang ‘merampas’ hak itu tetap mendapat sokongan.

Isteri pemimpin yang tidak menutup aurat juga bukan isu kecil dalam Islam, tetapi, hendak mengaitkan tindakan isteri pemimpin tersebut dengan kesan undi kepada suaminya, bukan satu konsep yang mudah untuk dijelaskan. Tepisan hujah dengan pendekatan hak asasi manusia, yang turut menjadi perjuangan Islam dan keadilan sejagat, dengan mudah menolak seruan menyokong pemimpin yang lebih baik dari suami kepada wanita yang tidak menutup aurat tersebut. Meskipun, golongan yang menyeru dan golongan yang diseru menganut agama yang sama, iaitu Islam.

Namun, isu JUDI, tidaklah sebegitu teknikal untuk difahami keharaman dan dosa yang datang bersama-sama dengannya. Judi juga tidak banyak ruang untuk dibahaskan dari sudut hak asasi individu kerana JUDI adalah satu perkara yang tidak boleh dilakukan berseorangan, tidak seperti membuka aurat. Judi, sekurang-kurangnya dilakukan secara berpasangan, itu pun tidak ramai yang melakukannya begitu, kerana, ‘untungnya’ sedikit. Sistem perjudian memerlukan lebih dari itu, ada pihak yang berkecuali, ada pihak yang menyokong satu pihak dan ada pihak yang menyokong pihak yang lain secara serentak atau tidak.

Masih adakah orang Islam yang tidak tahu JUDI itu haram, menghalalkan JUDI adalah haram dan dilaknat, dan memilih pemimpin yang menghalalkan judi itu BERDOSA? Bukankah pemimpin yang meluluskan lessen JUDI BOLASEPAK itu beragama Islam dan dia telah berdosa melakukannya? Bukankah menyokong pemimpin ini turut berdosa?

Lebih spesifik, adakah dalam UMNO yang tidak tahu hal ini? Hal ini bukanlah satu hal yang terlalu teknikal dan susah untuk difahami. Tidakkah FITRAH orang Islam dalam diri ahli UMNO sendiri mengakui yang perkara ini berdosa?

Dengan keyakinan sebagai orang Islam, pasti semua orang, termasuk ahli UMNO tahu, JUDI haram dan meluluskan lessen judi adalah berdosa, dan menyokong pemimpin yang meluluskan lessen judi adalah berdosa. Tetapi, kenapa kita masih tidak mahu menolak pemimpin dan parti kita?

Melalui pengalaman dan risalah-risalah yang memperjuangkan ketuanan Melayu, orang Islam UMNO jadi begitu kerana ketakutan ahli UMNO kepada kehilangan kuasa Melayu. Tidak nampak sebab lain, mengapa ahli UMNO masih setia. Tidak tahukah ahli UMNO, judi, buka aurat, menipu, merampas hak, menyeleweng, menyalahguna kuasa itu satu yang haram? tetapi disebabkan kebijaksanaan kita, kita mampu mencari penerangan bersifat TEKNIKAL (seperti isu royalti) untuk meneruskan ‘perjuangan’.

Ketakutan kehilangan kuasa menyebabkan kita menggubal polisi dan mengambil tindakan menjangkau segala peraturan yang ada, sama ada peraturan dari langit atau peraturan manusia. Yang penting, ketuanan Melayu mesti dikekalkan. Inilah perjuangan UMNO (benarkah?) dan fahaman ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk disebarkan, terutama kepada orang macam aku. Pada asalnya, dari kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu Hilang diDunia”, orang Melayu melangkah terus menguasai sekelilingnya. Lama kemudian, Islam datang, dan, orang Melayu mengambil Islam, Alhamdulillah. Islam berkembang kepada seluruh bangsa, tetapi, orang-orang Melayu UMNO tidak mahu melepaskan ‘ketuanan Melayu’ kerana takutkan kehilangan kuasa. Lalu UMNO melihat ketuanan Melayu lebih penting dari segala-galanya, termasuk Islam, sedang orang Melayu lain yang bukan UMNO, melihat Islam lebih penting dari ketuanan Melayu.

Dari situ, timbullah istilah ‘perpecahan Melayu’. Istilah ini adalah istilah perkauman kerana UMNO melihat Melayu sudah terbahagi 2. Mungkin benar. Melayu terbahagi dua tetapi sekarang mungkin terbahagi lebih dari 2, tetapi ketuanan Melayu hanya melihat terbahagi dua sahaja, iaitu Melayu yang tidak menyokong ketuanan Melayu dan melayu yang menyokong ketuanan Melayu. Dalam realiti mudah, melayu UMNO dan melayu BUKAN UMNO. Inilah perpecahan Melayu dimata UMNO. Dari sudut ketuanan Melayu.

Melayu Islam yang tidak menyokong UMNO tidak melihat perpecahan ini, kerana Melayu Islam tidak memberatkan isu bangsa. Jika kita lahir Melayu, sampai mati kita akan Melayu, jadi buatlah macam mana pun, kita tetap Melayu. Jadi, dimana perpecahannya sedangkan semua Melayu tetap Melayu? Islam melihat perpecahan dari sudut yang lain. Kalau hendak dikira berpecah, maka Islam berpecah kepada beberapa bahagian. Antaranya, Islam Munafik dan Islam Fasiq. Itu pun, masih tetap Islam. tidak dihukum. Muslim yang berpecah dari Islam, menjadi kafir, dihukum murtad, dan mesti dibunuh. Itulah perpecahan tahap tertinggi dalam Islam. Islam lebih menumpukan kepada keterbukaan di mana Islam boleh diambil oleh sesiapa sahaja. Islam Arab (atau Arab Muslim), Islam India (India Muslim), Islam Melayu dan macam-macam bangsa lagi.

Muslim, seperti juga Melayu yang yakin kepada ketuanan Melayu, mahukan kuasa untuk menegakkan Islam dalam pemerintahan. Berbeza dengan Melayu yang mahu menegakkan ketuanan Melayu yang tidak ada apa-apa rujukan, Kerajaan Muslim mahu menegakkan Al-Quran dan As-sunnah. Ini bermakna, buat masa ini, Islam sedang kehilangan kuasa! Dan, orang-orang Islam mahu mengambil kuasa dari pihak yang sedang berkuasa. Kebetulan pada masa ini, di Malaysia, golongan Melayu yang takut kehilangan kuasa, sedang berkuasa, iaitu UMNO yang memperjuangkan ketuanan Melayu. Inilah yang sedang berlaku dan inilah sebabnya UMNO tidak akan memberi kuasa kepada ISLAM.

Wednesday, March 31, 2010

Thursday, March 25, 2010

Positif

Dalam sebuah siaran stesen radio terdengar gesaan supaya melihat pendidikan seks secara positif. Pendidikan seks bukanlah pendidikan untuk melakukan seks tetapi lebih kepada mengetahui batas-batas pergaulan dan kesan-kesan kepada pergaulan yang melibatkan seks. Pendapat ini diberi oleh tokoh agama dari negeri-negeri selatan.

Isu pertama. Satu perkara ialah melihat setiap perkara dengan pandangan positif. Dari satu segi, kata-kata ini sangat baik dan ‘positif’ untuk diamalkan. Penuh dengan kekentalan jiwa dan semangat dari pengucapnya. Dari segi yang lain, pandangan ini adalah perkataan baik yang mengelirukan.

Kalau semua benda dilihat positif, maka jadilah ia satu yg positif untuk kita. Pada masa yang sama, kalau setiap benda dilihat negative, maka ia akan jadi negative kepada kita, mungkin begitulah maksud. Kenyataan ini benar selagi positif tidak bermakna baik, dan negative tidak tidak baik. Kerana kalau positif itu baik, maka semua benda dalam dunia ini baik sebab semua benda akan dilihat positif. Inilah kesan dari indoktrinasi, “lihat dari sudut positif” terutama untuk kegunaan diri sendiri.

Jika positif sama dengan baik, jadi negative sama dengan tidak baik, dan tidak akan ada benda yang tidak baik dalam dunia ini (berdasarkan indoktrinasi “lihat dari sudut positif”), sebab semua orang tidak akan melihat satu perkara dari sudut negative, terutama untuk dirinya, sebab, negative itu tidak baik, siapa yang mahu jadi tidak baik?

Sebab itulah pandangan ini mengelirukan. Melihat satu perkara secara positif bukan bermaksud, melihat satu perkara dari segi kebaikan, kerana, semua akan jadi kelihatan baik. Melihat secara positif sepatutnya merujuk kepada melihat dari sudut “pandangan Al-Quran dan Hadis (a. k. a Islam). Kalau Islam kata baik, jadilah dia baik, tidak kira sama ada perkara itu positif atau negative.

Untuk mencuba, mari lihat Neraka dari sudut positif. Maka, kita akan dapati ialah menjadikan manusia takut melakukan dosa dan masuk neraka. Tetapi, pandangan ini melibatkan satu lagi paradigm iaitu berfikir diluar kotak. Tidak dapat dikaitkan secara terus Neraka dan amalan didunia, jika ia berdasarkan pandangan “lihat dari sudut positif” sebab secara ‘satu-lawan-satu’ Neraka bukan perkara positif. Perkara positif yang ada dalam Neraka ialah, untuk org manusia diseksa beberapa ketika kemudian akan dibenarkan masuk Syurga. “Beberapa ketika” itu sahaja yang positif, itupun entah berapa juta/ribu tahun.

Lebih berani lagi, mari kita lihat Syaitan dan Iblis dari dari sudut positif. Akhirnya, kita akan dapati Syaitan itu baik dan boleh dibuat kawan, kerana, itulah kesan akhir doktrin “lihat dari sudut positif”.

Begitulah pendidikan seks, kalau dilihat dari sudut positif, tentu kita dapat “yang baik-baik” sahaja. Jadi, tengoklah sendiri. Jadi, janganlah percaya sangat dengan sesuatu yang elok bunyinya tetapi sebenarnya mengelirukan. Ikutlah Islam.

Isu kedua. Pendidikan seks bukan belajar mekanisme seks. Pendidikan seni tidak belajar main alat muzik atau menyanyi? Susah nak diterima. Setakat ini, disekolah-sekolah, pendidikan seni dan pendidikan yang lain akan belajar sesuatu yang teknikal tentang pendidikan itu. Setakat ini, hanya tahap Ph.D, sahaja yang belajar teori tanpa praktikal, itupun kalau Ph.D, yang berkaitan dengan perniagaan dan pengurusan. Pendidikan sistem pembiakan manusia dan haiwan sahaja sudah cukup memberi gambaran tentang tabiat manusia melakukan seks. Jadi, pendidikan seks tanpa pendedahan tentang bagaimana hendak melakukan seks adalah satu benda yang sukar untuk difaham, buat masa ini.

Jika pendidikan seks akan mengajarkan anak-anak untuk mengetahui moral, etika dan batas-batas pergaulan, maka sudah ada pendidikan Islam bagi orang Islam, dan pendidikan moral bagi bukan Islam. Mungkin sebab kedua-dua modul pendidikan ini tetap diajarkan dan jumlah maksiat meningkat, anak-anak luar meningkat, dan jenayah bertambah, maka kita membuat anggapan kedua-dua matapelajaran ini tidak berjaya. Lalu hendak ditambah satu lagi matapelajaran, iaitu pendidikan seks. Maknanya, pelaksanaan matapelajaran ini bukanlah sebab matapelajaran ini sudah terbukti berjaya dan bagus, tetapi matapelajaran ini dilaksanakan atas anggapan matapelajaran yang ada gagal membentuk manusia yang lebih baik. Nampak seperti satu lagi pendekatan P. Ramlee, “ hentam saja lah Labu”. Sebenarnya, tidak perlu pendidikan Islam sebab Nabi S.A.W menyuruh secara spesifik pendidikan seks, maknanya, dia tidak perlulah diberat-beratkan. Dari segi ilmu, baguslah tetapi bukan untuk anak-anak. Kalau pendidikan seks untuk pasangan emak-bapak anak-anak, mungkin boleh, itu pun tidak perlu diberat-beratkan. Anak-anak perlu diajar berenang, memanah dan menunggang kuda, dan perkara-perkara yang boleh diambil dari pemahaman tentang tuntutan ini. Anak-anak mesti diajar membaca, mengira, menghormati ibubapa dan mengenal Allah SWT. Kesimpulannya, pendidikan seks tidak perlu untuk diajarkan disekolah-sekolah.

Wednesday, March 10, 2010

Planet Badigol : Hari ke-3

Bukan main laju lagi aku pecut kereta nak sampai cepat ke tapak projek, alih-alih, ada pulak simpang tiga lepas jambatan. Berdecitlah aku tekan brek. Nasib baik jalan bukan dibuat dari pasir. Aku berhenti, takut-takut ada kereta. Tengok-tengok betul-betul ada kereta dari sebelah kanan. Aku nak ke kiri, kalau dia laju, dah kemik lah pintu kereta aku agaknya. Tapi dia lemah gemalai pulak tu. Kita ni dah lah nak cepat. Tunggulah jugak, sampai betul-betul depan simpang, alih-alih, eh… dia belok masuk ke simpang lah pulak!. Perlahan je, sambil bawak kereta sambil gelak-gelak kambing #&%$!, bukan setakat itu saja, boleh pulak berborak guna handphone sambil tangan yang pegang steering parking dekat tingkap kereta yang terbuka. Dasar jantan *&%$#!.

Apa nak buat, aku baru kat sini. Baru 3 hari sampai. Tempat orang, tentulah tak sama dengan tempat kita. Dari cakap-cakap orang, penduduk planet ini memang memiliki perangai yang berbeza dengan penduduk di tempat aku tinggal, sekurang-kurangnya 3 hari lalu.

Tapi, ramai jugak, kawan-kawan yang pernah datang ke planet ini, bawak perangai penduduk di sini, tidaklah banyak, tetapi satu sahaja pun dah cukup sengal untuk kami di planet Mahkota.

TRANSLATION