Wednesday, August 11, 2010

Mencari IV

Lelaki yang menentang hukum Allah S.W.T, tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang lupa. Begitu juga lelaki yang suka berzina tidak masuk akal untuk menyesal dengan berkata, “Eh, lupa!”. Mereka adalah golongan terlampau, atas sebab sengaja atau tergoda dengan kekeliruan, fatamorgana. Dengan tazkirah, mereka boleh sedar keterlanjuran mereka dan mula bermuhasabah. Proses menerima tazkirah adalah titik mula untuk berubah, itu pun jika mendapat taufik dari Allah S.W.T.

“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allahlah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan karena mencari keridhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, niscaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak akan dianiaya.” (QS Al-Bakarah, ayat 272).

Tazkirah sebagai hidayah dari Allah adalah satu langkah yang sangat bernilai namun kesudahan dari itu turut terletak dalam kuasa Allah S.W.T. Apa pun, tazkirah sudah berperanan. Entah macam mana, ada golongan yang tidak dapat menghargai tazkirah yang selalunya dilakukan dalam bulan Ramadan, sebelum solat tarawikh. Tindakan kerana lupa atau terlampau, tidak boleh dikenalpasti.

Muhasabah dan tazkirah tidak boleh dipisahkan. Lalu, jika kita mahu bermuhasabah, kita juga perlu menerima tazkirah. Muhasabah akan membawa kepada apa yang kita cari. Jika mahu mencari Islam tanpa menerima tazkirah akan memungkinkan kita keliru. Kekeliruan memerlukan tarbiyyah sebagai penghapus dirinya. Kekeliruan tidak akan pergi begitu sahaja tanpa dihalau. Jika terus dibiarkan bersarang dalam jiwa dan minda, kekeliruan akan berubah wajah kekal dengan sebagai iman. dikala ini, iman yang melekat adalah sesuatu yang berpunca dari kekeliruan dan bukan iman yang telah bersih. Inilah kejayaan fatamorgana, si syaitan-syaitan.

“Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk.”. (QS Az-Zukhruf, ayat 37).

Sebab itu, tahulah apa yang kita cari dan mesti menyediakan diri untuk tazkirah dan tarbiyyah. Janganlah berharap sesuatu yang baru akan kita temui jika kita tidak boleh dan tidak mahu menerima tazkirah dan tarbiyyah. Allah S.W.T wujud dan ada, mencari Islam akan mendekatkan manusia kepadaNya. Namun, syaitan juga wujud dan ada. Syaitan mengelirukan seperti fatamorgana. Syaitan akan menemukan manusia kepada sesuatu yang tidak cari. Mencarilah, walaupun kerja ini bukan satu yang mudah. Hasil mencari yang kekal hanyalah dari Allah S.W.T.

“Allah telah menyediakan bagi mereka surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (QS At-Taubah, ayat 89).

Monday, August 9, 2010

Mencari III

Dengan bermuhasabah kita dijangkakan dapat bertemu apa yang kita cari. Muhasabah, juga ada yang menterjemah dengan retrospeksi diri, tidak membawa apa-apa erti jika prosesnya hanya sekadar melihat kepada diri sendiri. Muhasabah berjaya ialah muhasabah yang memberi perubahan. Mungkin seorang perokok bermuhasabah setiap hari tetapi dia juga akan menghisap rokok pada setiap pagi sewaktu ke tandas. Jika ini keadaannya, muhasabah yang dilakukan tidak memberi apa kebaikan kepada diri. Bahkan, dari segi pengertian hakiki, dia tidak pernah bermuhasabah. Perokok itu sebenarnya tidak pernah mencari apa-apa tentang tabiat merokoknya. Muhasabahnya berjaya jika dia berhenti membeli dan menghisap merokok.

Muhasabah tidak tercetus begitu sahaja. Muhasabah tercetus kerana ada satu peristiwa yang mengingatkan kita tentang satu tabiat pada diri kita. Perokok akan mula bermuhasabah, jika dia melihat bapanya meninggal dunia kerana paru-parunya telah berlubang kerana kesan rokok. Akhirnya, perokok itu berhenti membeli rokok, sebelum dia berhenti menghisap rokok.

Peristiwa yang mencetus muhasabah, adalah satu peringatan kepada diri, dalam bahasa orang-orang mendengar ceramah, tazkirah. Berasal dari kata asal zikir, bermakna ingat, merujuk khusus kepada mengingati Allah S.W.T, tazkirah adalah pencetus dan pemantapan tazkirah adalah pendidikan menuju matlamat mencari. Pendidikan adalah tarbiyyah. Tarbiyyah boleh muncul dan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Peringatan (tazkirah) adalah satu nsur dalam pendidikan (tarbiyyah). Ada tazkirah berupa amalan, seperti berpuasa dalam bulan Ramadan, tazkirah boleh datang dalam bentuk ucapan, seperti majlis ilmu dan syarahan, tazkirah juga boleh boleh muncul dalam bentuk peristiwa. Lelaki yang selamat dari maut dalam kemalangan jalanraya selepas memandu laju mencecah 250 kilometer sejam, mungkin baru menerima tazkirah. Namun, boleh juga dia keliru dan hanya melihat fatamorgana dengan memuji kehebatan keretanya yang sangkanya telah menyelamatkan nyawanya.

Tazkirah perlu kepada manusia kerana manusia boleh jadi lupa atau terlampau. Lelaki yang lupa, akan segera muhasabah diri kerana kealpaannya. Makan tengahari dalam bulan puasa bagi orang Islam yang berpuasa adalah berdosa dan membatalkan puasa, tetapi dengan peringatan dari orang lain, mungkin isterinya, akan membetulkan keadaan dan membolehkan lelaki tadi berpuasa terus, walaupun sudah makan tengahari. Dia lupa.

Monday, August 2, 2010

Mencari II


Allah berfirman: "Ini adalah jalan yang lurus; kewajiban Aku-lah (menjaganya). (QS Al-Hijr, ayat 41).

Tidak menasabah kita tidak tahu bahawa memang Islam sahaja yang benar. Namun, peranan berkesan fatamorgana telah lebih mengelirukan dari apa yang kita sangka kita tidak faham dan faham. Fatamorgana adalah pengeliru dan memang itu peranan pengeliru, maksud ayat Al-Quran menjelaskan kedudukan fatamorgana, pengeliru, dalam usaha kita mencari Islam. “Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk.”. (QS Az-Zukhruf, ayat 37).

Sangkaan kita, kita sudah dapat menemui Islam, sayangnya, Islam yang kita temui tidak sama dengan Islam yang dibawakan kepada manusia oleh para Nabi, yang diakhiri oleh Nabi Muhamad S.A.W. Lalu, ada dua jenis Islam yang kelihatan. Kedua-duanya dikelirukan ditengah-tengahnya oleh fatamorgana, yang dibawa oleh syaitan. Islam yang satu, tidak kesah jika ada orang perempuan tidak menutup kepala dan dada. Islam yang satu lagi, berkeras dan bertegas, wanita mesti pakai tudung dan menghina mereka yang tidak pakai tudung. Islam yang satu mengajar kita, tidak perlu campur tangan dalam isu-isu hak peribadi, dengan tidak memaksa sesiapa pun agar tunduk perintah Allah S.W.T. Islam yang satu lagi, mengajar tidak boleh dibiarkan individu yang terang-terang melanggar perintah kepada individu agar patuh kepada perintah Allah S.W.T. Islam yang satu, tidak kesah kalau kehidupan manusia tidak ‘terlalu’ mengikut peraturan yang telah ada dalam Al-Quran dalam semua perkara termasuk ekonomi dan politik. Islam yang satu lagi, Islam mesti memerintah. Yang satu, bercanggah dengan yang satu lagi. Kita tidak tahu apa yang kita jumpa sama ada itu adalah yang kita cari atau pun bukan.

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad) itu kepadamu dengan (membawa) kebenaran  dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan sedikitpun kepada Allah) karena sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (QS An-Nisa, ayat 170).

Sering juga kita gantikan mencari, sama ada sengaja atau tidak, dengan perkataan Arab, muhasabah. Penambahan ‘ber’ selalu digunakan pada pangkal perkataan Arab, lalu menjadi bermuhasabah. Entah apa makna sebenar perkataan ini, muhasabah sering dirujuk kepada penilaian diri sendiri dan ditambah dengan kriteria istimewa, iaitu tidak menjaga tepi kain orang. Muhasabah menjadi satu alasan supaya kita tidak memperkatakan kesalahan-kesalahan orang lain, apatah lagi membincangkannya. Jadi, bermuhasabahlah!

Wednesday, July 28, 2010

Mencari I


Mencecah ke suatu tahap, kita akan mahu mendapat suatu genggaman yang berisi untuk kita bawa selama-lamanya. Sebelum ke tahap itu, kita masih mencari. Sepanjang usia hingga ke tahap itu, sebagai contoh jika usia 40 tahun, kita akan mencari, dan, terus mencari. Namun, benarkah kita sedang mencari sesuatu, atau, sebenarnya kita berharap kita mendapat sesuatu. Atau, dengan perkataan yang lebih mudah, adakah kita sedang berusaha atau kita hanya berangan-angan, kita menemui sesuatu yang kita mahu.

Dari Rabiah bin Kaab katanya : Ketika saya bermalam dengan Rasulullah s.a.w. saya bawa air kepada beliau untuk berwudhu' dan hajat yang lain, waktu itu beliau berkata : Ajukanlah permintaanmu kepadaku. Saya berkata : "Saya meminta supaya menemani tuan dalam syurga”. Lalu beliau menjawab : "Atau yang lain?". Saya jawab : "Itu sajalah". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi : "Jika demikian tolonglah aku untuk dirimu sendiri dengan membanyakkan sujud". (Hadis sahih riwayat Muslim)

Macam mana pun, mencari dan berangan-angan boleh jadi realiti yang mengelirukan. Kedua-duanya boleh berbeza dengan sebab wujud satu lagi realiti iaitu fatamorgana. Yang satu akan kelihatan seperti yang satu lagi, namun sebenarnya yang satu lagi itu sebenarnya berlawanan dengan yang satu itu. Kita menjadi tidak pasti mana satu, satu yang kita perlu dan yang mana satu, satu yang kita mahu. Itulah fatamorgana, realiti yang lagi satu, iaitu yang ketiga dalam hal mencari dan angan-angan, yang mengugat realisasi antara mencari dan berangan-angan.

Dalam Surah An-Nisa, ayat 120, memberi peringatan kepada mereka yang mahu mencari dengan terjemahannya, “Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.”

Setelah mencecah umur kita ini, ramai yang mencari sesuatu yang suci termasuk kebenaran, kebajikan, dan kebahagian. Sudah tidak mahu lagi kita mengharungi kehidupan dengan perkara-perkara yang bohong dan menipu, kesengsaraan, susah-payah dan mengelirukan. Kehidupan juga telah memberitahu kita bahawa, secara pukal, keseluruhan nilai-nilai baik ada, berasal dan memang akan kekal dalam Islam. Secara mudah, kita mahu mencari Islam, sekarang. Ketika inilah fatamorgana muncul mengelirukan kita. Mudah-mudahan Allah merahmati kita untuk kekal sebagai orang yang tidak keliru dengan fatamorgana.

Friday, June 4, 2010

Ketuanan


Mungkin terlalu teknikal jika hendak diberi faham bahawa pihak yang merampas hak sebuah negeri tidak boleh disokong dan menjadi satu yang berdosa untuk disokong dan dipilih sebagai pemimpin. Ambil contoh kes royalti minyak Kelantan, dan Terengganu (yang telah diubah menjadi wang ehsan), beberapa tahun lalu. Bagi mereka yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi, kaitan antara dosa dan wang royalty sukar untuk difahami. Hatta dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A. W sekalipun, isu ini sukar untuk dicerna. Pemahamannya memerlukan kebolehan berfikir yang agak kompleks. Bagaimana mengundi boleh dikaitkan dengan pelantar minyak yang tidak ada hasilnya di negeri tersebut? Ramai yang tidak faham. Secara mudah menyebabkan, pemimpin yang ‘merampas’ hak itu tetap mendapat sokongan.

Isteri pemimpin yang tidak menutup aurat juga bukan isu kecil dalam Islam, tetapi, hendak mengaitkan tindakan isteri pemimpin tersebut dengan kesan undi kepada suaminya, bukan satu konsep yang mudah untuk dijelaskan. Tepisan hujah dengan pendekatan hak asasi manusia, yang turut menjadi perjuangan Islam dan keadilan sejagat, dengan mudah menolak seruan menyokong pemimpin yang lebih baik dari suami kepada wanita yang tidak menutup aurat tersebut. Meskipun, golongan yang menyeru dan golongan yang diseru menganut agama yang sama, iaitu Islam.

Namun, isu JUDI, tidaklah sebegitu teknikal untuk difahami keharaman dan dosa yang datang bersama-sama dengannya. Judi juga tidak banyak ruang untuk dibahaskan dari sudut hak asasi individu kerana JUDI adalah satu perkara yang tidak boleh dilakukan berseorangan, tidak seperti membuka aurat. Judi, sekurang-kurangnya dilakukan secara berpasangan, itu pun tidak ramai yang melakukannya begitu, kerana, ‘untungnya’ sedikit. Sistem perjudian memerlukan lebih dari itu, ada pihak yang berkecuali, ada pihak yang menyokong satu pihak dan ada pihak yang menyokong pihak yang lain secara serentak atau tidak.

Masih adakah orang Islam yang tidak tahu JUDI itu haram, menghalalkan JUDI adalah haram dan dilaknat, dan memilih pemimpin yang menghalalkan judi itu BERDOSA? Bukankah pemimpin yang meluluskan lessen JUDI BOLASEPAK itu beragama Islam dan dia telah berdosa melakukannya? Bukankah menyokong pemimpin ini turut berdosa?

Lebih spesifik, adakah dalam UMNO yang tidak tahu hal ini? Hal ini bukanlah satu hal yang terlalu teknikal dan susah untuk difahami. Tidakkah FITRAH orang Islam dalam diri ahli UMNO sendiri mengakui yang perkara ini berdosa?

Dengan keyakinan sebagai orang Islam, pasti semua orang, termasuk ahli UMNO tahu, JUDI haram dan meluluskan lessen judi adalah berdosa, dan menyokong pemimpin yang meluluskan lessen judi adalah berdosa. Tetapi, kenapa kita masih tidak mahu menolak pemimpin dan parti kita?

Melalui pengalaman dan risalah-risalah yang memperjuangkan ketuanan Melayu, orang Islam UMNO jadi begitu kerana ketakutan ahli UMNO kepada kehilangan kuasa Melayu. Tidak nampak sebab lain, mengapa ahli UMNO masih setia. Tidak tahukah ahli UMNO, judi, buka aurat, menipu, merampas hak, menyeleweng, menyalahguna kuasa itu satu yang haram? tetapi disebabkan kebijaksanaan kita, kita mampu mencari penerangan bersifat TEKNIKAL (seperti isu royalti) untuk meneruskan ‘perjuangan’.

Ketakutan kehilangan kuasa menyebabkan kita menggubal polisi dan mengambil tindakan menjangkau segala peraturan yang ada, sama ada peraturan dari langit atau peraturan manusia. Yang penting, ketuanan Melayu mesti dikekalkan. Inilah perjuangan UMNO (benarkah?) dan fahaman ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk disebarkan, terutama kepada orang macam aku. Pada asalnya, dari kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu Hilang diDunia”, orang Melayu melangkah terus menguasai sekelilingnya. Lama kemudian, Islam datang, dan, orang Melayu mengambil Islam, Alhamdulillah. Islam berkembang kepada seluruh bangsa, tetapi, orang-orang Melayu UMNO tidak mahu melepaskan ‘ketuanan Melayu’ kerana takutkan kehilangan kuasa. Lalu UMNO melihat ketuanan Melayu lebih penting dari segala-galanya, termasuk Islam, sedang orang Melayu lain yang bukan UMNO, melihat Islam lebih penting dari ketuanan Melayu.

Dari situ, timbullah istilah ‘perpecahan Melayu’. Istilah ini adalah istilah perkauman kerana UMNO melihat Melayu sudah terbahagi 2. Mungkin benar. Melayu terbahagi dua tetapi sekarang mungkin terbahagi lebih dari 2, tetapi ketuanan Melayu hanya melihat terbahagi dua sahaja, iaitu Melayu yang tidak menyokong ketuanan Melayu dan melayu yang menyokong ketuanan Melayu. Dalam realiti mudah, melayu UMNO dan melayu BUKAN UMNO. Inilah perpecahan Melayu dimata UMNO. Dari sudut ketuanan Melayu.

Melayu Islam yang tidak menyokong UMNO tidak melihat perpecahan ini, kerana Melayu Islam tidak memberatkan isu bangsa. Jika kita lahir Melayu, sampai mati kita akan Melayu, jadi buatlah macam mana pun, kita tetap Melayu. Jadi, dimana perpecahannya sedangkan semua Melayu tetap Melayu? Islam melihat perpecahan dari sudut yang lain. Kalau hendak dikira berpecah, maka Islam berpecah kepada beberapa bahagian. Antaranya, Islam Munafik dan Islam Fasiq. Itu pun, masih tetap Islam. tidak dihukum. Muslim yang berpecah dari Islam, menjadi kafir, dihukum murtad, dan mesti dibunuh. Itulah perpecahan tahap tertinggi dalam Islam. Islam lebih menumpukan kepada keterbukaan di mana Islam boleh diambil oleh sesiapa sahaja. Islam Arab (atau Arab Muslim), Islam India (India Muslim), Islam Melayu dan macam-macam bangsa lagi.

Muslim, seperti juga Melayu yang yakin kepada ketuanan Melayu, mahukan kuasa untuk menegakkan Islam dalam pemerintahan. Berbeza dengan Melayu yang mahu menegakkan ketuanan Melayu yang tidak ada apa-apa rujukan, Kerajaan Muslim mahu menegakkan Al-Quran dan As-sunnah. Ini bermakna, buat masa ini, Islam sedang kehilangan kuasa! Dan, orang-orang Islam mahu mengambil kuasa dari pihak yang sedang berkuasa. Kebetulan pada masa ini, di Malaysia, golongan Melayu yang takut kehilangan kuasa, sedang berkuasa, iaitu UMNO yang memperjuangkan ketuanan Melayu. Inilah yang sedang berlaku dan inilah sebabnya UMNO tidak akan memberi kuasa kepada ISLAM.

TRANSLATION