Friday, March 21, 2008

Wa Dan Buku 1


Semasa zaman aku tengah ‘naik’ aku tak pernah jumpa buku tentang rock, aku rasa belum ada. Atau memang dah ada tapi aku tak pernah tau.

Buku yang pertama sekali aku baca masa aku sedang membesar ialah buku tentang ‘alif, ba, ta’. Tapi, orang tak panggil dia buku, orang panggil ‘muqaddam’. Pada masa itu, buku ini cuma ada dalam sistem pembelajaran anak-anak melayu, dan Islam, secara tidak formal. Kalau kat kampong dulu, budak-budak kena habis buku ini dahulu sebelum ‘naik quran’. Quran ini pun orang tak panggil buku, ini cerita dululah ni.

Buku sekolah ‘awal mula pertama mula’ (direct translation ‘first and foremost?’) aku ialah buku ‘Ini ayam. Ini ayam jantan. Ayam jantan ini besar dan cantik.’ Sekolah masuk tiga bulan aku dah habis baca buku ni. Baca buku ni lebih senang dari baca ‘muqaddam’ sebab buku ni tak ada ‘baris’. Cerita dalamnya pun senang faham. Lebih kurang 5, 6 orang saja sebagai pelakon utama. Ali, Ah Chong, Ramasami dengan Salmah. Ada juga yang berlakon jadi cikgu, tapi aku tak ingat nama diaorang. Mungkin sebab cikgu dulu garang-garang sangat. Yang lain pulak tak berapa ‘glamor’.

Bila ‘naik kelas’, buku mula bertambah dan semakin tak menarik. Cerita dalam buku semua dah tak ada yang kelakar kecuali cerita Pakcik Kordi dengan sifat kebodoh-bodohannya. Itu pun taklah sekelakar mana, sebab pada aku, Pakcik Kordi kena kutuk ‘rapat’, tak ada peluang Pakcik Kordi nak bela diri dia. Entah siapa yang buat buku macam tu untuk budak-budak sekolah, aku pun heran. Kesian Pakcik Kordi, dahlah gemuk, bodoh pulak tu!

Pada masa ini, rock tengah naik. Maklumlah tahun 70-an. Kalau masih ingat zaman ni zaman ‘side-burn panjang’, rambut pulak lagi afro lagi cun, saiz kolar baju macam selipar jepun, besar-besar. Lagu pulak banyak gitar dengan ‘organ’. Layan.. Aku selalu dengar lagu orang putih pakcik aku punya ‘collection’. Aku tak pernah nampak kaset atau ‘compact disc’ masa tu. Dia guna ‘records’ pasang kat ‘records player’. Makcik aku panggil ‘radio gram’.
Aku mula layan Deep, Rainbow, Scorpion selain Abba dengan Boney M. Apa dia orang sebut dalam lagu, aku tak boleh sebut balik. Setakat dengar je la sebab aku pelik tengok pakcik aku suka layan lagu-lagu yang tak ada orang faham. Jadi aku cuma nak tau apa benda sebenarnya yang sedap sangat. Aku ingat pakcik aku sorang je dalam kampong yang dengar lagu-lagu orang putih ni. Itupun sebab dia pernah sekolah melayu yang cakap orang putih, Malay College Kuala Kangsar. Mak aku kata sekolah ni paling ‘power’ kat Tanah Melayu masa tu. Sekarang pakcik aku dah join tabligh. Keluar beb…keluar! 40 hari tuan, 40 hari azam…. . tapi bila dengar lagu Abba sekali sekala, tersengih dia.

Sekolah menengah aku bukan dekat kampong. Masuk sekolah ini, ada 2 buku yang paling ‘top’.

Nombor satu buku sains paduan. Specifically, bab 6 helaian 9. Aku punya semangat nak tau apa ada dalam bab tu, dapat je buku teks terus tengok bab tu. Rupanya bab persenyawaan. Tapi, abang-abang senior kata, aku kena tengok buku latihan. Lagi best.

Bila dapat, aku tengok. La…buang karan!. Gambar lukisan macam lukisan kartun. Aku ingat gambar betul!!.

Nombor dua, buku lagenda budak-budak sekolah berasrama penuh, at least kat sekolah aku. Mona Gersang. Hebatnya lagenda (definisi lagenda ialah perkara sejarah yang ditokok tambah, kata K.K. Kim) buku ini sampai orang yang tidak pernah baca pun boleh cerita apa yang ada dalam buku ni. Mula dari tingkatan satu sampai tingkatan 5, usaha mendapatkan buku ini tetap diteruskan. Namun, hasilnya tak ada. Ada orang kata buku ni dah tidak dicetak lagi. Pelik juga. Kalau hebat sangat, kenapa tak ada ulang cetak. Sampai sekarang aku tak pernah jumpa buku ni.

Apa Yang Aku Dapat?

“Apa yang abang dapat?” tanya isteriku.

Apa yang aku dapat?

Selain kepenatan dan letih. Menjerit di tengah malam 8 haribulan. Kepuasan hati? Telefon kawan di merata negara meng “update” maklumat. Anak berasa hairan. Ini apa yang merasuk abah ni. Tengah malam naik turun tangga (komputer di atas, televisyen di bawah). Hingga pukul 5 pagi masih tak tidur. Berpeluh-peluh menunggu keputusan rasmi terutama bagi DUN Selangor dan Perak.

Apa yang aku dapat?.

Sejak penamaan calon, menolong calon PAS Shah Alam. Menampal poster, membetulkan poster PAS dan Keadilan di sepanjang jalan daripada Putrajaya ( opsss ) ke Klang. Aku ikut jalan Dengkil/Sg Manggis/Banting kerana sengaja tidak mahu menolong PLUS dengan bayar tol. Yang jatuh dan tak sempurna semua aku tolong betulkan di sepanjang jalan.

Di hari pengundian,aku menunggu dengan penuh sabar di pondok panas.
Memerhatikan makcik-makcik bersungguh-sungguh cuba meraih undi.

“Abah, boleh makan tak?” anakku meminta.
“Tak boleh kerana ini hak parti. Kita ada duit untuk beli. Biarlah yang lain-lain makan kerana mereka lebih susah daripada kita. Seteguk dua air mineral boleh la tetapi jangan membazir.”

Aku cukup seronok melihat pemuda-pemudi menolong bersungguh-sungguh
untuk kemenangan YB. Mereka tidak mengharapkan apa-apa upah, wang, dan
jauh sekali tender atau projek. Demi Allah dan Islam kata mereka. Aku
amat kagum. Aku kagum melihat kesungguhan pegawai kerajaan memberi
pertolongan kepada BA sengaja atau tidak di dalam pilihan raya ini.

“Siapakah YB tu?” tanya isteriku.
“Entah.”
“Orang Selangor ke?”
“Entah.”
“Siapa pilih wakil Shah Alam?”
“Entah tapi setahu abang, PRU dulu dia bertanding.”
“Apa la abang ni, entah dari mana pun sokong jugak.”
“Parti dah kata okey, kita sokong la. Dari mana asalnya, bangsa apa,
cacat ke, semua dah tak penting. Yang penting, parti kata sokong, kita
sokong.”
“Abang ahli PAS ke?” tanya isteriku.
“Tak pulak tetapi tidak pernah mengundi selain PAS.”





Di hari pengundiaan hujan lebat dipetangnya. Selepas menolong mengemas pondok, menanggalkan poster dan membuang sampah aku meredah hujan menaiki motor untuk kembali ke rumah di Klang. Hujan lebat tersebut menyebabkan aku terpaksa berhenti dua kali di hentian bas.

“Berbaloi kah?” tanya hatiku.

“Pernah jumpa dia ke?” tanya isteri lagi.
“Pernah bersalam, sekali masa 8 haribulan, dalam pukul 10.00 pagi dan sekali semasa kenduri Encik Yusof di Shah Alam esoknya” kataku.

Kemenangan YB semua adalah disebabkan oleh doa jutaan rakyat Malaysia dan dibantu oleh ribuan tenaga kerja yang tidak mengenal erti penat, siang, malam dan upah. Janganlah menghampakan harapan kami. Jangan menkhianati kami seperti UMNO mengkhanati DEB. Jika tidak, kami tidak akan berdiri disamping YB di pemilihan akan datang. Berkerjalah untuk Allah, Insyaallah, kita akan berjaya.

Jawapan untuk isteriku... “Kepuasan”.

Pengundi PAS,
Shah Alam.

Thursday, March 13, 2008

Tip 3

Sebelum mula kerja yang melibatkan ganjaran, terutamanya dalam konteks ‘makan gaji’, kita mesti tahu, pasti dan dijamin tentang ganjaran yang akan kita terima setelah melaksanakan tugas yang dipersetujui. Jumlah, tarikh dan bentuk pemberian ganjaran mesti telah diketahui sebelum langkah pertama bermula. Kita juga mesti tahu apakah perkara-perkara yang akan mempengaruhi ganjaran tersebut menjadi bertambah baik, disekat, diubah, ditangguh atau dimansuhkan. Dari maklumat tersebut, kita boleh menetapkan sasaran prestasi bagi mendapatkan ganjaran yang terbaik.

Berlaku 3 orang budak kampong dapat ‘lobang’ kerja. Punggah barang dari kontena barang ke warehouse. Barang dari Singapura, sampai ke kilang dan akan disimpan di warehouse. Satu kontena barang, iaitu electrical parts, memerlukan satu hari untuk dipunggah secara manual dan disusun di warehouse. Budak-budak kampong ini happy. First day datang, kontena tak sampai. Balik rumah tangan kosong. Hari kedua pun sama. Hari ketiga baru ada kontena. Semua kerja semangat, pukul lima, habis satu kontena dipunggah dan disusun.

Kerja ini dijanjikan oleh seorang lelaki, juga dari kampong yang sama. Selesai kerja hari ketiga itu, budak kampong bertiga itu, jumpa lelaki tersebut dan minta bayaran untuk satu kontena, sebanyak 5 ratus ringgit. Itu maklumat yang diberikan pada awal pertemuan dengan lelaki tersebut.

Malangnya, lelaki tersebut tidak mahu memberikan wang sebanyak 5 ratus itu, sebaliknya, hanya memberikan setiap orang, 90 ringgit, dengan alasan, “aku bayar engkau sehari 30 ringgit seorang, jadi 3 hari kerja, 90 ringgit seorang.” Semenjak hari itu, ketiga-tiga budak kampong itu tidak pernah bertegur dengan lelaki tersebut. Kini, sudah 20 tahun mereka masih begitu.

Kata-kata kerja dengan ikhlas memang sangat berhemah dan terpuji bila disebut dan didengar. Namun, pelaksanaannya tidak semudah yang diucap. Kalau, boss kata, “kita kerja mesti ikhlas”, reaksi pertama ialah memberitahunya, “gaji boss bagi kat sayalah”. Reaksi boss itulah sebenarnya ikhlas dalam bekerja, dalam konteks profesionalisme.

Bagi pengurus pula, inilah konteks yang penting dalam menjalankan tugas untuk memberi motivasi kepada orang bawahan. Pengurus tidak boleh sekali-kali merendahkan intelektualiti orang bawahan dengan menganggap mereka akan menerima apa sahaja yang akan diberikan sebagai ganjaran, apabila mereka selesai melaksanakan tugas yang sepatutnya. Menghormati hak dan menunaikan janji, akan memberi kesan yang baik kepada kesediaan orang lain untuk menerima arahan dalam hal pengurusan organisasi.

Monday, March 10, 2008

Maseh 3000 - Akhir

I


Tawanan dari Shinghud ditempatkan bersebelahan kaum Chem, pengamal ideologi Pengaman yang masih berbaki di CB-3, daerah seberang. Sekitar 3 ribu. Tubuh-tubuh kecil akibat tekanan hidup sedang menggeletar menunggu perintah. 300 tahun mereka hidup dibawah jajahan Pembebasan. Bagi mereka, sengsara adalah kemewahan dalam hidup. Satu tahap selain itu hanyalah mati. Namun, tiada siapa dapat mengubah apa-apa selama itu. Begitu juga Pengaman. Bukan tidak pernah dicuba. Tapi, kaum Chem masih sayang kepada tanahair, hanya mati boleh memisahkan mereka darinya.

“Lihat Keg. Begitulah kita selepas ini.” Ser belum pasti sanggup menghadapi kemungkinan.

Perempuan dan ibu-ibu dikumpul di dalam padang luas. Perempuan yang tidak mempunyai keluarga dipisahkan dari mereka yang mempunyai anak. Di setiap penjuru, berkawal seorang Pembebasan bersenjatakan Lesgon 5.

Ser dan Keg bersama tawanan lain selesai diberikan suntikan vitamin C dan NeWater II. Anak kecil dibenarkan berkumpul dengan pemilik masing-masing. Lelaki tua diasingkan dekat dengan sebuah rumah ibadah kaum Chem yang berbuju tajam menusuk 7 arah. Tidak pernah orang-orang Shinghud melihat bangunan begitu. Tidak seperti rumah-rumah mereka di Shinghud yang lengkap dengan segala kemajuan, dan, bagi yang mahu beribadat, boleh juga beribadat sambil duduk-duduk. Tidak perlu bangunan kuno sebesar ini.

Tuduhan akan dibuat ke atas tawanan perang yang sedang cemas hati menunggu nasib hari muka. Tiada apa lagi yang dapat menenangkan. Andai dilepaskan MOB-09 pada ketika itu sekalipun, tiada retaliasi yang bakal menyusul. Pengaman pernah melepas bio-bomb itu di Sulibesi, Indoken. Seribu menjadi mangsa dalam 5 Tik. Kini, hanya dakapan sesama sendiri sahaja yang membezakan kekentalan jiwa menghadapi akhir satu kehidupan. Hidup sudah tiada nyawa untuk meneruskan perjalanan. Ehsan Pembebasan satu-satunya penyelamat mustahil yang boleh diharap.

Dari pentas di hujung padang muncul sebuah susuk tubuh sambil memegang tongkat kecil sepanjang seukuran lengan pemiliknya. Di belakang, sekumpulan tentera lengkap dengan Lesgon 5 mengiringnya. Manusia itu mengangkat tangan setinggi kepalanya sebagai isyarat. “Bamm!” Serentak tentera yang mengiringinya melepaskan tembakan Lesgon 5 ke udara, membawa suasana sepi di pada dunia.

Ser tersentak dengan ledakan Lesgon 5. Matanya bulat memandang ke udara tidak berkelip. Bibirnya mula terketar-ketar sambil peluh dingin mula kelihatan di dahinya. Wajah Ser pucat.
“Ser, Ser!” .
Dia terkaku di atas bumi.
“Hoi!” suara lantang wanita tua di sebelah Ser menghala ke arah tentera di pintu terdekat di belakang.
“Ada yang mati di sini!”.
Laskar itu segera berlari ke arah Ser. Di tarik pangkal lengan Ser. Keg yang semenjak mula disebelah Ser menepis keras tentera itu.“Adakah ini cara engkau melayani wanita?” keras dan didengari tawanan yang lain.
“Hei tua, engkau mahu kami ambil tindakan sebelum nasib kamu ditentukan oleh Ketua?”. Keg melangkah ke belakang meninggalkan Ser.
“Benarkanlah aku pergi bersamanya ke mana kamu hendak membawanya”
“Siapa engkau?”
“Aku melahirkannya”
“O.K., cepat!”

Ser dibawa ke bilik bawah tanah. Dia masih lemah dan tidak mampu berdiri

***
II


Manusia bertubuh kecil yang muncul dikhalayak tahanan seminggu lalu muncul depan Ser. Lima laskar mengekori tapi mereka hanya berdiri diluar bilik, memerhati seorang wanita sedang lemah terbaring, tidak mampu berbuat apa. Mata lelaki itu merenung tajam ke arah Ser tanpa berbalas. Pac Miha, Ketua Pembebasan, mengangguk perlahan serta merta seorang laskar dari belakang membuka pintu biliki kurungan.

“Kamu lima semua tunggu di markas” arah lelaki tersebut, “..dan biar pintu itu terbuka” sebaik seorang laskar menarik daun pintu untuk menutup pintu bilik kurungan.

Lelaki itu seperti tradisi kaum Chem, bersila di lantai,. Dia mula tekun meneliti wajah Ser dari dekat. Hidung Ser yang tidak mancung, matanya yang bulat bundar, kulit sawo matang dan rambut ikal, sudah cukup untuk meyakinkan lelaki itu asal keturunan Ser.

“Kamu satu ibunya?” tanyanya, setelah lama berdiam. Keg tunduk dengan pertanyaan itu.

“Penghakiman masih jauh dari selesai,” Pac Miha, mula berbicara. “..entah sesanate, dua sanate atau lebih dari itu. Tapi, kamu dua adalah yang dimuliakan kerana kamu dua dalam keadaan begini. Aku sebagai Ketua akan memberi kelebihan kepada kamu dua tanpa mengira apa yang telah kamu dua lakukan semasa perang antara Pengaman dan Pembebasan. Kamu dua mesti memilih sama ada mahu menjadi hak dan tanggungjawab kepada Ketua atau, kamu dua mahu bebas tanpa sebarang bebanan kepada aku. Tapi, satu perkara engkau mesti tahu. Disebabkan kamu dua ada pertalian darah, aku tidak boleh mengambil kedua-dua kamu. Kamu dua akan memilih. Hidup kamu dua pada masa depan adalah atas diri kamu dua pada 30 Yum akan datang. Aku minta diri.”

Pac Miha bangun.

“Bukankah engkau mempunyai kuasa untuk menentukan apa saja. Sama ada pada hari Penghakiman atau sekarang. Mengapa mesti mahu tunggu 30 Yum?” Keg menyekat langkah Pac Miha.

Vokal keras Keg tidak mampu menyekat Pac Miha menekan butang di tepi kanan pintu bilik kurungan. Dua laskar Pembebasan pantas membuka pintu bilik kurungan. Mereka berlalu meninggalkan Ser dan Keg.

Ser merapatkan mata kemudian membuka semula dengan kelopak berair. Dagunya rapat ke dada, matanya merenung lantai silika bilik kecil itu. Lepas 30 Yum nanti nasibnya tentu berbeza. Begitu juga Keg, ibunya.

***

III



Hari Penghakiman hanya ada baki 15 Yum. Tempoh untuk Ser menentukan masa muka. Dunia di luar tidak dapat diketahui apa yang sedang berlaku atau sudah berlalu. Wajah Ser yang beberapa hari lalu jelas pucat kini sudah kembali kemerah-merahan, menggambarkannya usianya yang sebenar. Wajah Ser adalah keseluruhan dirinya. Dahulu memang Ser lebih hebat dalam apa yang profesinya berbanding yang lain di seluruh Shinghud. Tidak ramai yang tidak kenal Ser di Shinghud.

“Bagaimanakah keputusanmu, Keg?” Ser mula mahu berbicara setelah sekian hari tidak bermaya.
“Hidup ini sebenarnya untuk kau, Ser”
“Tapi, hidupmu masih berbaki!” Ser tidak mahu mengalah.
“Benar. Masih ada point 4 dua sahaja. Tapi, kau masih ada 3 point 9 dua. Masih jauh lagi perjalananmu.”
“Tapi kini dunia telah diperintah oleh Pembebasan, apakah umur kita masih cuma 6 point 5?” soalan Ser tidak terjawap.

Wajah Ser betambah jelas kemerah-merahannya menahan tidak puashati dengan keputusan yang ada. Memang, dia masih muda dan masih keras hatinya. Sukar menerima kenyataan.
“Mampukah kau menghabiskan baki hidupmu seorang diri?” Ser masih belum mahu mengalah.
“Bukankah aku telah menghidupkan kau tanpa bantuan sesiapa sehingga hari ini?”
“Sudahlah Keg! Itu semasa kita dikuasai Pengaman, kini mereka sudah tiada!” Ser degil.
“Jadi, kau rela menjadi habuan mereka?”
“Ini adalah tawaran yang akan membela kita di hari muka. Inilah sebenarnya idamanku. Seorang hero datang menyelamatkan kita dari apa yang kita buat di Shinghud. Dan, kini heroku telah muncul. Tapi, aku tak rela membiarkan kau terus merana Keg!”
“Profession itulah yang memberi kita kehidupan, Ser”
“Benar. Tapi, aku tidak pernah gembira melakukanya. Bahkan, ramai kawan-kawan merasa begitu. Tapi, kita tiada pilihan, Pengaman telah menetapkan begitu dengan kuasa mereka. Dan, kau juga wanita, gembirakah kau melayani lelaki tanpa jaminan masa depan selama-lamanya?” Ser membantah keras.
“Kita tetap akan terus melayani lelaki-lelaki!”

Wednesday, March 5, 2008

Awang Mahu Bebas

Awang sekolah rendah di Sekolah Sri Nilam, Chabang Tiga. Dia budak pandai, sekolah rendah habis dengan baik. Naik sekolah menengah, dia sudah mula pikir pasal keluarga. Masuk tingkatan 1, entah berapa bulan, dia tak mau pergi sekolah. Sebab, tak seronok dan banyak kerja katanya. Keluarganya bukan jenis kuat bebel, emak dan ayah dia tidak cakap apa-apa, asalkan anak diaorang 'happy'. Awang mula kerja batik dengan orang kampung, bahagian 'cceluk' (mencelup kain batik dalam air panas untuk 'mematikan' warna). Dia happy.

(Gambar: Pekerja batik tengah menjalankan aktiviti 'cceluk')

Kemudian, boss tengok dia ok, boss suruh dia lipat kain pulak. Bukan senang lipat batik secara komersial, bukan macam lipat kain batik nak simpan dalam 'gerobok'. Lama-lama dia menjadi orang kesayangan boss. Boss bagi dia kereta supaya dia senang gerak dan boleh buat marketing sekali.

Sampai umur 16 tahun, Awang rasa nak belajar sekurang-kurangnya untuk dapat S.R.P. Dia ambik kelas malam. Siang kerja, malam belajar. Tup-tup, S.R.P. dia aggregate (masa tu la..) 13. Terkejut katak cikgu-cikgu yang mengajar dia kat kelas malam. Mana tidaknya, barang tiga tahun kat sekolah, dia buat dalam masa tak sampai setahun.


Masuk form 4, penyakit lama datang balik. Sebulan sekolah, Awang cabut. Sebab, sama macam dulu. Bosan, banyak kerja dan macam-macam lagi.

Awang terus kerja batik dengan boss dia, dan dia dah mula tahu selok belok perniagaan batik di Terengganu. Sekarang, dengan pengalaman dan ketekunan, serta sikap Awang yang tidak suka melakukan perkara yang dia tidak suka, Awang sekarang telah memiliki perniagaan batik yang terkenal dan baik di Kuala Terengganu. Dia bebas dari belenggu keterpaksaan pergi sekolah, dia 'happy' dengan kerjaya sekarang dan dia mampu menyara keluarga dengan apa yang dia ada.

TRANSLATION